San Siro, Itali – Wayne Rooney sekali lagi menjadi watak utama Manchester United dalam mencipta kemenangan. Jika kehandalannya menjadi igauan lawan dalam liga domestik, Rooney membuktikan dia bukan sekadar jaguh kampung.
Dua gol tandukan Rooney membuat penonton tuanrumah di San Siro tergamam menyaksikan pasukan kesayangan mereka AC Milan tewas 2-3 di tangan United pada saingan 16 kelompok terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
Meskipun mendahului seawal minit ke 3 menerusi pemain sensasi Brazil, Ronaldinho, kebangkitan United dicetuskan dengan gol penyamaan pemain veteran Paul Scholes pada minit ke 36 disusuli dua gol Rooney pada minit ke 66 dan 74 selepas rehat.
Paling menyanjung tinggi ketangkasan United, pengurus pasukan Alex Ferguson. Kata pengurus berasal dari Scotland itu, Rooney sangat cemerlang sehingga pemain Milan susah mengawalnya.
Bekas pemain United, David Beckham yang memperkuatkan Milan turut mengakui kehebatan Rooney, tetapi yakin peluang pasukannya bangkit tetap ada menjelang pertemuan di Old Trafford, 10 Mac ini.
Mungkin sedikit yang dikesali United, agak leka sehingga membiarkan Clarence Seedorf merapatkan kedudukan menerusi gol minit ke 85 dan insiden layangan kad merah kepada perancangnya Michael Carrick pada minit-minit terakhir masa tambahan.

Comments are closed.