SHAH ALAM: Liga bolasepak Universiti atau lebih sinonim dengan gelaran Unileague bakal berwajah baru dengan pengenalan Kejohanan Bolasepak Piala Menteri Pengajian Tinggi musim ini. Hasil cetusan idea Menterinya, Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin, kejohanan bakal menjadi medan saingan yang melibatkan semua IPT, Politeknik dan kolej Komuniti serta turut menarik penyertaan IPTS.
Kejohanan akan dijalankan di lapan zon iaitu zon utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang), zon tengah 1 (Perak, Kuala Lumpur dan Selangor), Zon tengah 2 (Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan), Zon Selatan (Johor dan Melaka), Zon Sabah dan Zon Sarawak.
Justeru satu sesi taklimat teknikal dan pengurusan kejohanan telah diadakan di Dewan Kompleks Sukan, UiTM, Shah Alam pada 17 Februari 2010. Taklimat dikendalikan Penolong Setiausaha Agong, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ahmad Fuad Daud.
Upacara pelancaran dan sepak mula kejohanan ini akan dilakukan sendiri Menteri Pengajian Tinggi pada 25 Februari 2010 di Stadium Universiti Putra Malaysia.
Kejohanan ini juga diharap mampu membuka ruang untuk membangunkan aktivi sukan di kalangan para pelajar seiring dengan penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum bagi melahirkan generasi yang cergas dan cerdas.
Turut hadir di majlis ini Naib Canselor UiTM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan KPT, Ahmad Naim Ismail dan semua jawatankuasa yang terlibat dalam kejohanan kali ini.

update latest result….