SELAYANG – Aksi suku akhir pertama Piala FA malam tadi memperlihatkan kesungguhan Selangor mempertahankan kejuaraan dengan menundukkan Pos Malaysia 5-1 di Stadium Perbandaran Selayang.
Kapten Selangor, Amri Yahyah kembali mencuri tumpuan apabila meledak dua gol pada minit ke 22 dan 27. Turut menjaringkan dua gol pemain gantian Rudie Ramli pada minit ke 69 dan 78. Satu lagi gol Selangor dijaringkan Safee Sali.
Gol saguhati Pos Malaysia jaringan Khairul Zol Azmi pada minit ke 77.
Turut mencatat kemenangan selesa T Team yang menewaskan pasukan yang dianggap abang, Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Gol-gol T Team menerusi Mohd Harris Safuan Mohd Kamal pada minit ke 9 sebelum Abdul Hadi Yahya menambah dua lagi gol pada minit ke 39 dan 59.
Terengganu membalas menerusi gol lewat perlawanan hasil percubaan Tengku Hasbullah Raja Hassan.
Sementara itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, KL Plus mengejutkan juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan. Gol tunggal kemenangan tuanrumah menerusi Mohd Nizaruddin Yusof pada minit ke 67.
Di Stadium Darulaman, Alor Setar pula, tuanrumah Kedah cemas disaing hebat Angkatan Tentera Malaysia, ATM.
Mendahului pada minit ke 54 menerusi percubaan jarak dekat Khairul Helmi Johari, Kedah bagaimanapun tersentak apabila ATM menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti V Saravanan susulan bola terkena tangan Mohd Sabre Abu pada minit ke 61.
Nasib tidak menyebelahi ATM apabila terlepas dua peluang keemasan pada lewat babak kedua.
Perlawanan suku akhir kedua berlangsung Sabtu ini.

Comments are closed.