Birmingham – Kejohanan All England yang memasukki suku akhir hari ini menyaksikan Malaysia cuma menampilkan Datuk Lee Chong Wei, dua beregu lelaki, Choong Tan Fook / Lee Wan Wah dan Gan Teik Chai / Tan Bin Shen.
Lawan Chong Wei hari ini pemain muda Korea Selatan yang mengharungi pusingan kelayakan, Shon Wan Ho. Pada pusingan kedua Wan Ho mengejutkan pemain berbakat dari China Chen Long 21-18, 18-21, 21-19.
Chong Wei pula mara ke suku akhir selepas mudah mengenepikan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro, 21-11, 21-17 dalam tempoh 38 minit.
Saingan beregu lelaki, Tan Fook dan Wan Wah berdepan tugas getir hari ini. Tampil selaku pilihan ke 8 kejohanan, menanti mereka nanti pilihan ke tiga dari Indonesia, Markis Kido dan Hendra Setiawan.
Tan Fook dan Wan Wah melepasi pusingan kedua selepas berhempas pulas 51 minit mengalahkan gandingan Korea Selatan Cho Gun Woo / Kwon Yi Goo.
Manakala Teik Chai / Bin Shen bertemu beregu Denmark Lars Paaske / Jonas Rasmussen pada satu lagi aksi suku akhir. Pusingan kedua semalam Teik Chai / Bin Shen menyingkirkan Chai Biao dan Zhang Nan dari China 21-8, 23-21.

Comments are closed.