SELANGOR - Minggu ketiga Liga Bolasepak IPT meyaksikan pertembungan Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) menentang Universiti Malaya (UM) semalam. KKHL gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tunduk 5-1 kepada UM di Stadium Perbandaran Kajang. Kemenangan ketiga berturut-turut itu meletakkan UM selesa di tangga teratas Kumpulan Zon Tengah 2.
KKHL membuat kejutan membolos gawang UM dengan gol seawal minit pertama, menerusi Muhammad Fazli Jaafar. Namun KKHL gagal memanfaatkan peluang keemasan menambahkan jaringan apabila Muhammad Azizi Ismail tidak dapat menyempurnakan sepakan penalti di pertengahan separuh masa pertama. UM terus bertindak mengasak kubu KKHL bertali arus, dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Azhari Salahudin.
Bermula separuh masa kedua Muhamad Yusri Sawal meletakkan UM di depan dengan menanduk masuk gol kedua pada minit ke-58. Gol sendiri hasil kesilapan Mohd Hazwan Abdullah pada minit ke-65 pula menghadiahkan gol ketiga buat UM. UM tidak membuang peluang yang sedia ada dan berjaya mendapat dua jaringan dalam tempoh tiga minit pada minit ke-85 oleh Mohd Hafriz Ayob dan Yusri Sawal pada minit ke- 88 dan ini melengkapkan kemenangan besar UM. Keputusan muktamad UM 5 KKHL 1.
Sementara di Stadium UKM di Bangi berlangsungnya perlawanan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Politeknik Port Dickson (PPD). Dimana UKM turut melakar kemenangan ketiga apabila mengatasi PPD 3-0 dalam saingan Zon Tengah 2.
Begitupun, UKM terpaksa menunggu hingga minit ke-25 sebelum berjaya membolosi gol PPD, hasil jaringan Khairul Syafiq Mohd Shukri. Khairul Syafiq bijak menyudahkan hantaran Mohd Nazri Razali dengan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, UKM terus lebih bertenaga biarpun bermain dalam keadaan padang basah. Mohd Nazri Razali yang menyumbangkan gol pertama berjaya mendapat gol kedua dengan melakukan larian solo dari sebelah kanan sebelum melakukan rembatan kencang menggegar gawang PPD pada minit ke-74. Dua minit sebelum wisel penamat, beliau sekali menemui jaringan hasil sepakan cantik dari luar kotak penalti. Keputusan di Stadium UKM Bangi, UKM 3 PPD 0.

Comments are closed.