Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Obor Olimpik Tiba Di Kuala Lumpur

 


Dikemaskini : 21 Apr 2008 12:16 PM

 

Obor Olimpik yang diiringi oleh Naib Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing, Jiang Xiaoyu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira pukul 2.30 pagi semalam dengan pesawat khas dari Thailand.

Obor itu yang diletakkan dalam bekas khas, tiba dari Bangkok dengan pesawat itu yang khusus membawanya ke semua 19 destinasi antarabangsa yang terpilih bagi larian obor itu sebelum tiba di Beijing bagi pembukaan Sukan Olimpik 8 Ogos.

Jelajah dunia bagi lambang Sukan Beijing 2008 itu kini di peringkat Asia, yang setakat ini bebas masalah selepas mendapat bantahan di Eropah dan Amerika Syarikat awal bulan ini.

Terdapat beberapa insiden terpencil apabila Obor itu tiba di India tetapi tiada masalah sebegitu di Bangkok dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Dr M. Jegathesan berharap tiada kejadian tidak diingini apabila Larian Obor bermula di Kuala Lumpur hari ini.

"Kami telah membuat persiapan rapi yang terdaya untuk memastikan larian itu berjalan lancar dan polis juga akan menjalankan tugas mereka," kata Dr Jegathesan kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Selain Dr Jegathesan dan Setiausaha MOM Datuk Sieh Kok Chi, Duta Besar China ke Malaysia, Cheng Yonghua turut berada di KLIA untuk menyambut delegasi itu, bersama-sama kira-kira 300 pelajar China di Malaysia.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka menugaskan kira-kira 1,000 anggota untuk memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku ekoran kira-kira 30 penyokong Falungong berdemonstrasi di luar Kedutaan China pada Jumaat, mendakwa Beijing mempergunakan temasya itu sebagai alasan untuk menganiaya anggota kumpulan itu.

China mengharamkan Falungong, yang mengamalkan meditasi yang digabungkan dengan ajaran Buddha, seperti "evil cult" (pemujaan syaitan) pada pertengahan 1999, dan ramai pengamalnya ditindas di negara itu pada masa lalu.

Demonstrasi baru-baru ini di Tibet turut menjadikan China dikritik hebat bagi rekod hak asasi manusianya - dan mencetuskan bantahan di banyak hentian obor itu sebelum ini termasuk di London dan Paris.

Di Malaysia, bekas pemenang pingat Sukan Olimpik dan selebriti adalah antara 80 pelari terbabit dalam larian obor itu dari Dataran Merdeka ke Stadium Merdeka dan melalui Segitiga Emas sebelum berakhir di Menara Berkembar Petronas KLCC.

 

Petikan dari Bernama

 

 

Cetak laman ini