Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Pelaburan Yang Tiada Hasil

 


Dikemaskini : 18 Apr 2008 11:37 AM

KEGAGALAN skuad hoki lelaki negara pada Kelayakan Sukan Olimpik di Kakamigahara, Jepun, menelan kos perbelanjaan sebanyak RM230,000.

Barangkali angka itu tidak mengejutkan Majlis Sukan Negara (MSN), begitu juga Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) kerana wang itu hadir begitu mudah. Ia adalah wang hasil pembayar cukai rakyat.

Malah, jika dilihat kepada pencapaian tempat ketiga dan keputusan keseluruhan perlawanan, sebenarnya ia tidak setimpal langsung dengan kos yang dibelanjakan.

Soalnya bagaimana sejumlah besar wang itu boleh diluluskan bagi satu kejohanan kelayakan? Untuk apa dan bagaimana ia dibelanjakan?

Jawabnya mudah. Perbelanjaan sebanyak itu adalah untuk menampung pemergian 33 anggota rombongan sepanjang dua minggu di sana.

Menjadi isu sekarang adalah jumlah pegawai yang terlalu ramai. Bayangkan 13 pegawai untuk mengiringi 18 pemain utama (tidak termasuk dua simpanan).

Ditolak beberapa jawatan utama - seperti pengurus, ketua jurulatih, jurulatih penjaga gol, doktor, tukang urut - yang membentuk kumpulan pegawai asas. Ini bermakna terdapat baki lapan pegawai tambahan turut serta.

Terdapat tiga pembantu jurulatih, pembantu perubatan (1), pegawai urut (2), penganalisis sukan (1), pakar pemakanan (1) dan chef (2).

Selain pengurus (Sathis Kumar), jurulatih (Sarjit Singh), jurulatih penjaga gol (Shahid Ali Khan), doktor (Mohamad Shariff A Hamid) dan tukang urut, kehadiran baki sembilan pegawai dilihat tiada kepentingan.

Lebih menghairankan, mengapa Paul Lissek selaku Konsultan Program Pembangunan PHM, bekas jurulatih negara, malah sebagai individu arif mengenai taktikal hoki Malaysia, tidak berada dalam rombongan itu kerana PHM sebelum ini galak mencanang pembentukan skuad ramuan pemain veteran dan bakat muda itu ialah demi mencipta kejayaan dalam jangka masa panjang.

Agak mengejutkan, perbelanjaan lebih RM230,000 hanya sebagai pendahuluan daripada jumlah sebenar iaitu sekitar 80 peratus kerana difahamkan, MSN masih menunggu tuntutan PHM untuk baki 20 peratus dalam tempoh terdekat.

Jumlah perbelanjaan itu turut membabitkan 13 pegawai PHM dan MSN yang sebahagian besarnya dilihat lebih terarah untuk ‘merasai musim sejuk sambil menikmati sushi Osaka’.

Terdahulu, kegagalan barisan Sarjit melepasi kempen kelayakan mengundang kekecewaan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar apabila menyifatkan situasi itu berpunca kelemahan pengurusan dan program pembangunan PHM.

Malah, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong mahu PHM menyediakan laporan kegagalan itu secepat mungkin dan dijangka memperolehinya, Isnin ini.

Namun, di sebalik ‘lebihan anggota rombongan’ skuad Olimpik Beijing, tindakan Sarjit menyenaraikan 20 pemain tidak boleh dipertikai sekalipun kuota hanya untuk 18 pemain bagi setiap perlawanan berdasarkan kecederaan menimpa S Kuhan dan S Selvaraju.

Malah, langkah itu dilihat tepat kerana dikhuatiri Malaysia lebih terperosok di tangga terbawah andai Sarjit tidak membawa dua pemain simpanan sebagai langkah berjaga-jaga.

Dipetik Dari Harian Metro
 

 

 

Cetak laman ini