Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Chong Wei Perlu Tembusi Tembok China Untuk Emas Olimpik

 


Dikemaskini : 16 Apr 2008 11:32 PM

 

Malaysia mengharapkan pemain badminton negara Lee Chong Wei dapat membawa pulang pingat emas dari Sukan Olimpik Beijing Ogos ini tetapi harapan itu tidak semudah seperti dijangkakan.

Chong Wei, pemain ranking kedua dunia, terpaksa berdepan dengan Tembok China dan ia adalah satu tugas sukar yang terpaksa diharungi.

China menaruh harapan menggunung pada kombinasi pemain handalan negara itu untuk merangkul emas acara perseorangan lelaki -- Li Dan, Bao Chunlai dan Chen Jin -- dan barisan tersebut merupakan ancaman yang serius dan paling menakutkan.

Jurulatih perseorangan negara Misbun Sidek, percaya anak buahnya itu bakal menempuh cabaran sukar di Beijing nanti.

"Fakta terbentang di depan mata untuk semua melihatnya. Bagi Chong Wei untuk menang emas di Beijing, beliau perlu melepasi dua daripada pemain China itu jika tidak kesemuanya.

"Saya akui ia merupakan satu tanggungjawab paling berat untuk dipikul oleh Chong Wei," katanya.

Misbun berkata Li Dan adalah pemain nombor satu dunia dan mungkin slot perlawanan akhir pada Sukan Olimpik dikhaskan kepadanya.

"Bagaimana dalam separuh akhir? Mungkin Chunlai sebagai pemain nombor tiga dunia dan anda tahu Chunlai tidak sebegitu mudah ditewaskan. Sekali lagi, Chong Wei mungkin bertemu Chen Jin di sukur akhir.

"Jadi apa yang saya katakan ialah laluan emas yang diburu Chong Wei amat mencabar sekali. Ada kemungkinan beraksi menentang tiga pemain China dengan stail berbeza dalam tempoh tiga hari dan percayalah ia bukan mudah," kata Misbun di luar Kejohanan Badminton Asia (ABC) di sini.

Prestasi semasa Lin Dan juga menjadi salah satu faktor untuk barisan China memiliki kelebihan, kata Misbun.

"Pemerhatian saya terhadap Lin Dan sejak tiga bulan lepas menunjukkan pemain itu adalah amat yakin dalam gelanggang dan keadaan fizikalnya baik sekali," katanya.

Bagaimanpun, Misbun enggan mengalah sebelum saingan Sukan Olimpik bermula dari 8 hingga 24 Ogos ini.

"Chong Wei pernah menewaskan semua pemain itu tetapi tidak mengalahkan kesemua mereka dalam satu pertandingan.

Kini terpulang kepada Chong Wei dan jugak saya untuk melakarkan kejatuhan China di Beijing nanti," katanya.

 

 

 

Cetak laman ini