Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Piala Sultan Azlan Shah Medan Pulih Maruah Hoki Negara

 


Dikemaskini : 16 Apr 2008 11:34 PM

 

Setelah gagal merealisasikan impian untuk beraksi pada Sukan Olimpik Beijing, kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah bulan depan dilihat sebagai medan terbaik untuk membuktikan skuad lelaki negara masih perlu dihormati di persada antarabangsa.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Hashim Mohamed Yusoff berkata kejohanan yang bermula pada 8 hingga 18 Mei itu akan membabitkan empat pasukan yang telah layak ke Olimpik.

"Selain Pakistan, pasukan keenam dunia, yang telah mengesahkan penyertaan, tiga lagi pasukan ialah New Zealand (ranking ke-10), Belgium (12) dan Kanada (15)," katanya kepada pemberita di pejabat PHM.

Beliau berkata dua lagi pasukan iaitu Argentina dan India walaupun tidak berjaya layak ke Beijing, masih merupakan lawan yang kuat untuk melengkapkan tujuh pasukan bertanding.

"Skuad lelaki negara akan memberikan persembahan yang terbaik dan berharap agar dapat muncul juara pada tahun ini, selain ia juga dianjurkan bersempena dengan Ulangtahun Keputeraan ke-80 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah," katanya.

Pada edisi tahun lepas, skuad negara yang dibimbing Sarjit Singh muncul naib juara setelah tunduk kepada Australia 1-3 dalam perlawanan akhir.

"Walaupun kos penganjuran mencecah RM800,000, tiada bayaran tiket akan dikenakan kepada para peminat sepanjang berlangsungnya kejohanan itu,"katanya.

Mengulas mengenai kegagalan skuad itu pada pusingan kelayakan ke Olimpik di Kakamigahara, Jepun yang berakhir Sabtu lepas, Hashim berkata masih terlalu awal untuk PHM memberi komen.

"Saya bersama jurulatih kebangsaan (Sarjit) akan berjumpa dengan Timbalan Presiden PHM Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar bagi membincangkan tentang perkara itu dalam masa beberapa hari lagi," katanya.

Hashim berkata selain itu satu laporan lengkap juga akan dihantar kepada Majlis Sukan Negara, minggu depan.

Kegagalan skuad lelaki sebelum ini mencetuskan tanda tanya tentang tahap sebenar hoki negara setelah turut gagal pada pusingan kelayakan untuk ke Olimpik Athens empat tahun lepas.

Ketika mengulas pandangan dan kritikan beberapa pihak mengenai kegagalan itu, Hashim berkata Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini telah memberikan empat bintang kepada PHM yang dinilai daripada pelbagai aspek termasuk program pembangunan dan pentadbiran.


 

 

 

Cetak laman ini