|
‘ Kita Sedia
Bayar Hutang
MSN ‘ -
Ismail Sabri |
Dikemaskini :
03 Apr 2008 09:39 AM
ISU 'hutang' Majlis
Sukan Negara (MSN)
kepada persatuan
sukan kebangsaan
tidak lagi wajar
menjelmakan bimbang
kerana jaminan kini
diberi betapa segala
yang tertunggak,
bakal dilunaskan.
Ianya diluahkan
Menteri Belia dan
Sukan, Datuk Ismail
Sabri Yaakob, yang
menegaskan betapa
pembayaran akan
dibuat jika tuntutan
disokong dokumen
sesuai dan lengkap.
Cuma satu persoalan
- hakikat betapa
tabungan MSN kini
kontang kerana
digunakan buat
membayar
perbelanjaan tidak
berkaitan dengan
justifikasi
kewujudan badan
induk itu - belum
terlerai.
“Saya baru terima
laporan daripada
Datuk Zolkples (Embong,
Ketua Pengarah MSN)
dan saya akan teliti
butirannya.
“Apa yang pasti,
jika memang
terhutang, dan
tuntutannya disokong
dokumen yang betul,
lengkap, hutang
tetap kita bayar.
Prinsip berhutang
ialah kita mesti
membayarnya,”
katanya ketika
ditemui selepas
mesyuarat pasca
Kabinet, semalam.
Ismail enggan
mengulas lanjut
persoalan penggunaan
tabungan MSN untuk
projek tidak
berkaitan itu,
sebaliknya meminta
masa meneliti
laporan yang
diberikan.
“(Pembayaran) yang
tidak berkaitan,
saya kena teliti
dulu. Saya kena
tengok apa yang
berkaitan dan apa
yang tidak. Ini
membabitkan kewangan,
kalau saya komen
terus, mungkin salah
dan orang akan
pegang apa saya
cakap hari ini,”
katanya.
Isu kedua itu timbul
ekoran surat
dihantar pegawai
kanan Kementerian
Belia dan Sukan (KBS),
bertarikh 26 Mac
lalu, mengarahkan
MSN membuat
pembayaran baki
kontrak dengan
sebuah syarikat
televisyen kabel
antarabangsa -
dipercayai melebihi
RM8 juta.
Apa yang menarik,
kontrak buat
membiayai program
harian di stesen
kabel itu
ditandangani dengan
KBS, dengan
persoalan timbul
terhadap rasional
mengarahkan MSN
melunaskannya.
Turut terkandung
ialah arahan untuk
MSN melunaskan baki
bayaran papan iklan
dipasang di
gelanggang Kejohanan
Futsal Lima
Sepasukan Dunia yang
dikhabarkan melebihi
RM4 juta.
Diajukan persoalan
sama ada tabungan
MSN tidak akan
digunakan lagi untuk
projek tidak
berkaitan pada masa
depan, Ismail
bagaimanapun
menegaskan betapa
itulah amalannya
sejak sekian lama.
“Selama inipun,
tabungan MSN, MSNlah
yang gunakan. Tetapi
dalam sesetengah
keadaan, peruntukan
disalurkan melalui
KBS dan kemudiannya
diberi kepada MSN.
Kita tak guna duit
MSN. Apa yang MSN (punya),
tetap diberi kepada
MSN,” katanya.
Ismail juga
menegaskan bahawa
isu hutang itu -
diakui jadi topik
utama mesyuarat
semalam - tidak
menjejaskan
persiapan atlit
negara ke Sukan
Olimpik di Beijing
nanti.
Petikan dari Berita
Harian Online