Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Insentif, pencen Olimpik turut dinaikkan - Gaji untuk atlet cemerlang

 


Dikemaskini : 09 Apr 2008 09:47 AM

 

Habuan buat pemenang pingat Sukan Olimpik kini semakin membesar apabila gaji bulanan pula bakal dinikmati oleh atlet yang berjaya memenangi pingat pada temasya itu.

 

Pembayaran gaji bulanan merupakan ganjaran terbaru yang dicadangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan, yang sebelum itu turut bersetuju untuk menaikkan jumlah insentif dan pencen Olimpik.

 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berharap, habuan lumayan yang bakal dinikmati pemenang pingat Olimpik itu mampu menggalakkan lebih ramai rakyat negara ini memilih sukan sebagai kerjaya.

 

“Setiap atlet yang memenangi apa jua pingat pada Sukan Olimpik bakal dibayar gaji bulanan, manakala skim insentif sedia ada akan dinaikkan kerana jumlah yang ada sekarang agak rendah berbanding keadaan semasa.

 

“Kami juga bersetuju untuk menaikkan jumlah pencen Olimpik kerana ini mampu meyakinkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya,’’ katanya selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu Persediaan Atlet ke Olimpik di Putrajaya, semalam.

 

Menurut Ismail Sabri, gaji bulanan akan dibayar kepada pemenang pingat Olimpik Beijing selagi mereka aktif dalam sukan, namun sebaik atlet itu bersara, dia secara automatik akan menerima pencen.

 

Mengikut skim pencen yang mula diperkenalkan pada 2005, pemenang pingat emas menerima RM3,000 setiap bulan, diikuti RM1,500 untuk perak dan RM1,000 gangsa.

 

Bagi skim insentif Olimpik pula, pemenang pingat emas Olimpik akan menerima habuan RM160,000, manakala pingat perak dan gangsa, menawarkan RM80,000 dan RM40,000 masing-masing.

 

Bagaimanapun, kata Ismail Sabri, pembayaran gaji bulanan, kenaikan skim insentif dan pencen Olimpik ini hanya akan dilaksanakan jika mendapat kelulusan Jawatankuasa Kabinet Sukan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Saya harap Jawatankuasa Kabinet akan bersetuju dengan cadangan ini dan harap mesyuarat dapat diadakan sebelum Olimpik Beijing berlangsung (8-24 Ogos),’’ katanya.

 

Ketika ini, semua atlet yang menikmati skim pencen Olimpik terdiri daripada pemain badminton diketuai pemenang pingat perak Temasya Atlanta 1996, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock, selain tiga pemenang pingat gangsa - Jalani, Razif dan Rashid Sidek.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, sasaran Sukan Olimpik 2008 tidak berganjak iaitu meraih pingat tanpa mengira warna dengan badminton tetap menjadi sandaran utama.

 

Katanya, meskipun sukan seperti memanah menunjukkan peningkatan besar dengan kejayaan pasukan lelaki menduduki ranking ketujuh dunia, namun peluang untuk sukan itu membawa pulang pingat masih sukar.

 

“Badminton tetap sandaran utama kita, saya tidak fikir sukan lain mampu memberi pingat. Kalau memanah boleh mencatat keputusan lebih baik daripada kedudukan ketujuh, ia sudah dianggap satu pencapaian baik,’’ katanya.

 

Memandangkan badminton dianggap sukan penting buat Malaysia di Olimpik, Ismail Sabri mahu memastikan persiapan berjalan dengan baik dan akan mengadakan pertemuan dengan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam masa terdekat bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.

 

 

Cetak laman ini