|
Menteri
sukan jumpa
Kien Keat,
Boon Heong |
Dikemaskini :
09 Apr 2008 09:37 AM
MENTERI
Belia dan Sukan,
Datuk Ismail Sabri
Yaakob akan
mengadakan pertemuan
empat mata dengan
pemain beregu utama
negara, Koo Kien
Keat-Tan Boon Heong
bagi mendengar
segala permasalahan
dihadapi beregu
ranking ketiga dunia
itu.
Sambil menegaskan,
betapa kudrat mereka
begitu ditagih
kerana berada pada
kedudukan mampu
membawa pulang
pingat untuk negara
di Sukan Olimpik
Beijing kelak,
Ismail berkata,
mereka perlu
diberikan bantuan
sewajarnya.
"Saya akan
mengadakan pertemuan
dengan mereka dalam
masa terdekat bagi
mendengar sendiri
masalah yang
dihadapi. Ini kerana
harapan terhadap
sukan badminton bagi
meraih pingat
terlalu tinggi dan
kami menyedari ia
mencetuskan bebanan
kepada pemain,"
katanya selepas
mengetuai mesyuarat
Jawatankuasa Pemandu
Sukan Olimpik di
Putrajaya, semalam.
Ismail berkata,
beliau amat
menyedari prestasi
turun naik beregu
emas itu dalam
beberapa kejohanan
sebelum ini,
mencetuskan
persoalan terhadap
kemampuan mereka
membawa pulang
pingat.
"Kita sebenarnya
amat serius dalam
usaha membawa pulang
pingat. Jadi kami
perlu mendengar
sendiri masalah yang
mereka hadapi dan
akan cuba mengatasi
segala kemelut yang
melanda.
"Selain itu, kita
juga menaruh harapan
kepada pemain
perseorangan negara,
Lee Chong Wei yang
kini di ranking
kedua dunia. Andai
berdasarkan ranking,
kita mampu meraih
perak dari acara
perseorangan dan
gangsa daripada
acara beregu.
"Saya juga akan
berjumpa dengan
atlit lain untuk
mendengar masalah
yang mereka hadapi
kerana sukan lain
turut mencatatkan
peningkatan ketara
dan mampu membawa
kejutan kepada
kontinjen Malaysia,
lebih-lebih lagi
menerusi program dan
persediaan rapi yang
sudah kita aturkan,"
katanya.