Dikemaskini :
09 Apr 2008 09:24 AM
SKUAD hoki negara
akhirnya dapat
menjelmakan aksi
terbaik di kejohanan
kelayakan Olimpik.
Namun, keringat anak
didik Sarjit Singh
itu belum cukup
untuk menyekat
keperkasaan Jerman
apabila kecundang
3-0 kepada pasukan
nombor satu dunia
itu di Stadium
Green, semalam.
Kekalahan itu - yang
pertama di kejohanan
enam negara itu -
secara lojik
menceritakan peluang
untuk layak ke final
dan mengintai tiket
terakhir ke Sukan
Olimpik di Beijing
semakin tipis
kecuali dapat
mengutip mata
kemenangan daripada
dua perlawanan
berikut menentang
Switzerland, esok
dan Jepun, Sabtu ini.
Rata-rata boleh
dikatakan
ketiga-tiga gol
Jerman bukan kerana
kesilapan pertahanan
negara, sebaliknya
lebih menjurus
kepada sifat pintar
pihak lawan
meledakkan jaringan.
Ketika Malaysia
dijangka akan
menjadi mangsa
berikut Jerman
selepas juara Piala
Dunia itu membelasah
Switzerland (10-0)
dan Itali (8-0),
Azlan Misron dan
rakan-rakan membuat
kejutan dengan
persembahan terpuji
untuk menyaingi
lawan pada setiap
bahagian.
"Bagi saya, walaupun
kita tewas dengan
Jerman, namun pemain
mempamerkan aksi
paling hebat yang
pernah ditampilkan
dan andainya mereka
terus mengekalkan
prestasi seperti ini,
saya yakin kami
mampu menguasai dua
saingan yang masih
berbaki.
"Hari ini (semalam)
pemain bersemangat
untuk menang dan
kemenangan boleh
menjadi milik kita,"
kata Sarjit ketika
dihubungi di
Kakamigahara,
semalam.
Pada firasatnya,
Jerman bernasib baik
memperoleh gol awal
ketika dua peluang
sebelum itu -
pukulan sudut
penalti minit
kelapan oleh Mohd
Amin dan pukulan
Kelvinder Singh
tersasar.
"Andai gol awal
milik kita, saya
yakin perlawanan
akan berubah wajah,"
kata Sarjit yang
menegaskan semangat
pemainnya masih
tidak luntur untuk
merealisasi sasaran
layak ke final.
Jerman hanya
memerlukan 23 minit
untuk merobohkan
benteng Malaysia
yang beraksi tanpa
pemain berpengalaman,
S Kuhan yang cedera
pangkal paha dan
juga penyerang
berbisa, S Selvaraju
yang demam sejak
kelmarin.
Selepas gagal meraih
gol menerusi tiga
peluang pukulan
sudut penalti yang
diperoleh seawal
minit pertama
perlawanan,
penyerang terbaik
Jerman, Christopher
Zeller, 23,
menamatkan 'dahaga'
gol skuadnya apabila
menyudahkan cantik
lantunan bola
ditampan penjaga gol
Malaysia, S Kumar
minit ke-23.