Kembali ke laman utama     

 

 

MSNS HARGAI WARGA SUKAN

Oleh: Hanim Junaibi

 

Shah Alam, 23 Ogos 2007; Demi mengangkat martabat sukan negeri Selangor dan atlet-atletnya, satu majlis penghargaan yang digelar Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (MSNS) 2006 telah diadakan.

 

Semalam merupakan malam bersejarah buat Mohd. Rizal Tisin, jaguh lumba basikal dan Wong Mew Choo, ratu badminton negara apabila dianugerahkan Olahragawan dan Olahragawati MSNS 2006 sekaligus membawa pulang RM5,000.

 

Mohd. Rizal menamatkan kemarau 19 tahun Malaysia dengan meraih pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC). Mohd. Rizal menewaskan pencabarnya dalam kategori yang sama, Alex Liew Kien Liang (tenpin boling) dan Ryan Chong Wy Luhn (taekwondo).

 

Wong Mew Choo pula menewaskan dua calon lain untuk merebut gelaran Olahragawati MSNS 2006 iaitu Shalin Zulkifli (tenpin boling) dan Nor Hashimah Ismail (boling padang). Mew Choo memperoleh pingat emas bagi acara beregu dan perak bagi acara perseorangan wanita pada Sukan Komanwel yang berlangsung di Melbourne tahun lalu.

 

Foo Jiang Beng, dari sukan renang meraih gelaran Olahragawan Harapan manakala Olahragawati Harapan menjadi milik Ili Syazana Jamal Azmi dari sukan boling.

 

Sementara Pasukan Ragbi Selangor memenangi anugerah Pasukan Terbaik. M. Suhaimi Zainuddin, pegawai sukan ragbi pula menerima anugerah Pegawai Berjasa. Turut menerima anugerah yang sama adalah Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaafar dari sukan olahraga dan Wang Woon Pui (bola keranjang).

 

Majlis yang diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam turut dihadiri Pengerusi MSNS, Dato’ Haji Ahmad Nawawi Dato’ M. Zin dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud.

 

 

 

Hak Milik Terpelihara 2004 - 2007  Silversports (M) Sdn Bhd