PESTABOLA MERDEKA: MALAYSIA,
MYANMAR MELANGKAH KE AKHIR
Oleh:
Khalil Adzhari
Petaling Jaya,
27 Ogos;
Aksi separuh akhir Pertandingan Pestabola Merdeka edisi ke-39
yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
menyaksikan tuan rumah, Malaysia mengiringi juara bertahan
Myanmar ke perlawanan akhir di Stadium Shah Alam 29 Ogos ini.
Skuad bimbingan
B.Sathianathan berjaya melangkah ke perlawanan akhir setelah
menang bergaya mengatasi Singapura 3-1. Pada perlawanan ini
menampilkan permainan yang berkualiti dipamerkan pemain skuad
Bawah 23 Tahun negara. Skuad negara membuka tirai jaringan
seawal minit ke-14 menerusi sepakan percuma Khyril Muhymeen.
Penyerang negara, Safee Sali menambah jaringan kedua empat minit
kemudian.
Rentetan
peluang untuk menambah jaringan selepas itu kerap kali
dihampakan pertahanan Singapura yang kental bertahan di samping
dua jaringan dibatalkan pengadil kerana ofsaid. Namun gandingan
mantap Safee dan Mohd. Zaquan Adha sukar dikekang, hasilnya pada
minit ke-76 Safee menambah jaringan ketiga untuk menceriakan
lebih 10,000 penyokong pasukan negara yang hadir memberi
sokongan.
Sebelum itu
perlawanan separuh akhir pertama menyaksikan Myanmar membenam
cabaran wakil dari Afrika, Zimbabwe 3-1. Myanmar yang
membariskan pemain-pemain pengalaman jelas mendominasi
perlawanan. Hasilnya, Myanmar berjaya membuka tirai jaringan
menerusi Yan Piang pada minit ke-32 selepas memanfaatkan
hantaran daripada Soe Myat sebelum menumpaskan Edmore Sibanda di
gawang Zimbabwe.
Bagaimanapun
Zimbabwe berjaya menyamakan jaringan melalui sepakan percuma
Mutshumaveli Moyo pada minit ke-51. Namun begitu, gol Zimbabwe
hanya mampu bertahan lima minit apabila Yan Piang sekali lagi
berjaya merobek pintu gol Zimbabwe menerusi tandukan. Pemain
gantian, Yazar Win Thein terus menutup sisa-sisa perjuangan
Zimbabwe dengan gol ketiga seminit sebelum perlawanan tamat
setelah menyudahkan hantaran Aung Myo Thant.