Kembali ke laman utama     

 

 

KELANTAN DAN JOHOR MEMBURU PIALA KEAGUNGAN

  

Kuala Lumpur, 10 Ogos 2007: Perlawanan akhir Kejohanan bolasepak Pertandingan Piala Emas Raja-Raja sampai ke kemuncaknya apabila pasukan Kelantan bertemu Johor pada perlawanan akhir Ahad ini.

  

Perlawanan yang bakal berlangsung di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru akan bermula pada jam 8.45 malam.

  

Johor yang beraksi di halaman sendiri selepas penantian selama 20 tahun untuk layak ke final berharap kelebihan ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menjulang piala yang menjadi rebutan 13 pasukan.

  

Perlawanan akhir ini akan disaksikan oleh Exco Pengerusi Belia dan Sukan Negeri Johor, Y.B. Haji Abdul Aziz Kaprawi, Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Johor (PBMJ) Dato' Dr. Hasan di samping Ahli-ahli Majlis Tertinggi PBMJ serta para Pegawai Daerah sekitar Johor. Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir ini adalah Y.B. Dato' Takiyuddin Hasan, Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan (PBMK) dan Haji Md. Nawi Yusoff Setiausaha PBMK.

  

Johor melangkah ke perlawanan akhir setelah menundukkan Terengganu 2-0 secara aggregat manakala Kelantan menumpaskan Pulau Pinang 4-2 secara aggregat pada perlawanan separuh akhir.

  

Melihat kepada kronologi perlawanan sebelum ini, Johor pada peringkat awal telah membenam pasukan MASUM 2-1, Negeri Sembilan 3-1 dan tewas kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-3. Pada peringkat suku akhir menyaksikan mereka menang dengan Pahang 2-0 ditempat sendiri dan 1-0 ditempat lawan, manakala pusingan separuh akhir seri 0-0 dengan Terengganu ditempat lawan dan menang 2-0 ditempat sendiri.

  

Pasukan Kelantan dikumpulan B bersama dua pasukan lain, Singapura dan Terengganu pada peringkat awal menewaskan Singapura 1-0 dan Terengganu 3-0. Walau bagaimanapun pada peringkat suku akhir Kelantan megandakan lagi kemaraan mengalahkan Polis diraja Malaysia (PDRM) 1-0 ditempat sendiri dan ditempat lawan. Akhirnya Kelantan berjaya ke final dengan agregat 4-1 menewaskan Pulau Pinang.

  

Jurulatih Kelantan, Kamaruddin Md. Nor meletakkan harapan tinggi terhadap pasukannya yang merupakan juara Piala Emas Raja-Raja tahun lalu menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-1.

  

Tahun ini bakal menyaksikan Kelantan beraksi di final untuk kali keempat berturut-turut. Penyerang Kelantan, Khairul Azwan adalah pemain yang perlu diberikan perhatian oleh pasukan Johor kerana Khairul dijangka bakal meranapkan impian Johor bergelar juara tahun ini.

  

Sementara buat pasukan Johor, kekebalan benteng pertahanan yang diterajui oleh ketua pasukan, Azmil Azali menjadi sandaran utama di samping rakan sepasukan untuk mengekang asakan lawan. Anak-anak buah Khalid Shadan yang dahagakan kemenangan menjanjikan persembahan menarik di halaman sendiri.  

  

Kepada semua  berilah sokongan padu kedua-dua pasukan demi memartabatkan tradisi piala keagungan Piala Emas Raja-Raja sejak diperkenalkan pada tahun 1946.

 
 

 

Hak Milik Terpelihara 2004 - 2007  Silversports (M) Sdn Bhd