|
PERLAWANAN AKHIR PIALA EMAS RAJA-RAJA 2007
PENANTIAN 20 TAHUN JOHOR BERAKHIR
Oleh: Khalil Adzhari

Johor Bahru,
12 Ogos 2007;
Penantian
Johor selama 20 tahun untuk menjulang piala keagungan yang
menjadi rebutan 15 pasukan akhirnya sampai ke titik noktahnya.
Pertandingan Piala Emas Raja-Raja 2007 melabuhkan tirainya hari
ini menyaksikan tuan rumah Johor berjaya menanfikan tentangan
juara dua musim berturut-turut Kelantan 2-1 di perlawanan akhir.
Perlawanan di
Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru
yang bermula pada jam 8.45 malam berlangsung dengan aksi
berbalas serangan daripada kedua-dua pasukan sebaik wisel
permulaan dibunyikan. Johor terlebih dahulu membuka tirai
jaringan menerusi sepakan percuma Azmil Azali pada minit ke-6
dari jarak 30 meter yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol
Kelantan, Mohd Afdun Yacoob.
Namun
Kelantan yang ketinggalan bangkit mengasak bertubi-tubi benteng
pertahanan Johor dan berjaya menyamakan kedudukan hasil
lambungan menarik Rosmanizam Reset pada minit ke- 29 dari luar
kotak penalti untuk menewaskan Md. Taha Talib di gawang gol
Johor.
Permukaan
padang yang digenangi air ekoran hujan yang turun pada sebelah
petang sedikit sebanyak merencatkan corak permainan kedua-dua
pasukan di mana gerakan yang dihasilkan dari bawah seringkali
tersekat di atas permukaan air.
Perlawanan
akhir ini disaksikan hampir 500 orang penonton rata-ratanya
adalah penyokong pasukan Johor. Turut hadir untuk menyaksikan
perlawanan ini adalah Exco Pengerusi Belia dan Sukan Negeri
Johor, Y.B. Haji Abdul Aziz Kaprawi, Pemangku Presiden Persatuan
Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) Y.B. Dato’ Takiyuddin Hassan,
Naib Presiden PBMM Kol (B) Mohd Nor Darus, Presiden Persatuan
Bolasepak Melayu Johor (PBMJ) YBhg Dato’ Paduka Dr. Hassan Dato’
Omar di samping Ahli-ahli Majlis Tertinggi PBMJ serta
wakil-wakil dari Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan (PBMK).
Perlawanan
yang berlanjutan ke masa tambahan selepas kedudukan terikat 1-1,
90 minit masa permainan sebenar menyaksikan Shahril Nizam Khalil
muncul wira pasukan Johor dengan menjaringkan gol kemenangan
pada minit ke-98 dengan menyempurnakan sepakan penatli selepas
Mohd Redzuan Johari dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Pada
perlawanan ini juga menyaksikan pengadil, Abu Bakar Mohd Nor
dari Melaka terpaksa melayangkan 5 kad kuning kepada pemain
setiap pasukan ekoran aksi kasar yang dipamerkan.
Selaku naib juara pasukan Kelantan menerima hadiah wang tunai RM
15,000. Sementara itu ketua pasukan Kelantan, Nor Azwan Muhamad
telah dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir.
Johor yang menjuarai Pertandingan Piala Emas Raja-Raja pada
tahun ini menerima hadiah wang tunai RM30,000 di samping piala
iringan dan piala pusingan. Majlis penyampaian hadiah telah
disempurnakan oleh Y.B. Dato’ Takiyuddin Hassan Pemangku
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM).
|