Kembali ke laman utama     

   

MIMPI MUHAMAD HELMEY JADI REALITI, MENANG PUSINGAN 2 KEJUARAAN SPEEDWAY  

 

 

Kuala Lumpur, Ahad – Mimpi mencium trofi yang berulangan akhirnya bertukar menjadi satu kenyataan manis bagi Muhamad Helmey Hamzah, 18  apabila beliau berjaya mencatat kemenangan juara dalam Pusingan 2 Kejuaraan NFC Speedway Bawah 21 malam tadi.

 

Menguasai perlumbaan daripada awal, Muhamad Helmey dari Team Titiwangsa meraih 12 mata untuk menewaskan Mohd Abdussobur Turino dari Nova Racing Team yang mencatat 11 mata. Asrul Khairin Azizan dari  Team Samudera mencatat 10 mata. Kemenangan Muhamad Helmey meletakkan beliau seri dengan Mohd Abdussobur di tangga teratas kedudukan keseluruhan dengan 22 mata. 

 

“Sekali lagi, saya berterima kasih kepada pasukan dan semua mekanik yang telah menyusun strategi untuk memastikan kemenangan saya pada malam ini. Perlumbaan malam ini bagaikan satu peperangan yang sangat besar kerana semua pelumba mahu menang. Berbanding dengan Pusingan 1, semua pelumba ada kelebihan menguasai setiap sudut litar. Ianya bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya berazam untuk mengekalkan prestasi untuk baki tiga pusingan lagi,” kata Muhamad Helmey yang mencatat tempat ketiga dalam pusingan 1 pada 21 Julai lalu.

 

Kemuncak perlumbaan malam tadi adalah adegan ekor-mengekori di antara Muhamad Helmey, Abdussobur, Asrul dan pemenang Pusingan 1 Mohd Azlan Suparman dari Team Seri Putera. Muhamad Helmey menunjukkan keupayaan beliau menguasai selekoh tajam manakala Abdussobur menunjukkan kelebihan di laluan terus. Mohd Azlan, sedikit tertekan mahu mengekalkan kejuaraan jatuh beberapa kali namun tetap mengutip 6 mata untuk menjadikan pungutan mata keseluruhan 18 markah.   

 

"Selepas Azlan jatuh pada peringkat awal, saya lebih berhati-hati agar kejadian yang sama tidak berlaku pada diri.   Selepas pulas habis-habisan untuk mendahului Abdussobur di peringkat dua pusingan akhir, saya mula yakin  kejuaraan boleh menjadi milik saya ," kata Muhamad Helmey.

 

Sementara itu, Hanifah Yoong, Perunding Speedway Malaysia berkata walaupun Kejuaraan Speedway itu pertama kalinya diadakan di Malaysia namun hampir kesemua pelumba telah menunjukkan kemahiran menguasai motosikal yang meningkat sejak tiga minggu lalu.  “Speedway Malaysia akan menyeranaipendek lima orang pelumba untuk menjalani latihan motosikal Speedway JAWA 500cc. Ini bertujuan untuk menyediakan mereka untuk Kejuaraan Speedway bertaraf antarabangsa. Kita berharap, pihak Kerajaan dan swasta akan tampil ke depan untuk menghulurkan bantuan dan sokongan yang diperlukan bagi menjayakan program ini, ” kata Hanifah.

 

Sebanyak enam buah pasukan beraksi di Kejuaraan malam tadi. Pasukan-pasukan itu adalah Team Titiwangsa, Team Maxi Alpha, Nova Racing Team, Team Seri Putra, Team Motivasi dan Team Samudera. Kesemua pelumba beraksi menggunakan motosikal kelas 115cc yang dimodifikasikan mengikut ciri-ciri motosikal Speedway. 

 

Dianjurkan oleh Persatuan Penganjur dan Pelumba Sukan Motor Malaysia dan dipromosikan oleh Speedway Malaysia, Kejuaraan NFC Speedway terbahagi kepada tiga kategori iaitu Bawah 21 tahun, Bawah 25 tahun dan Terbuka. Setiap kategori mempunyai lima pusingan dan diadakan setiap malam Sabtu di Litar Speedway di Family Park dekat Kompleks Sukan Bukit Jalil jam 8 malam.

 

Lumba Speedway adalah satu bentuk perlumbaan motosikal lasak walaupun baru di negara ini tetapi begitu popular dan mempunyai bilangan peminat yang besar di Britain, Eropah, Republic Czech, Poland, Australia dan New Zealand. Berlainan dengan lumba motosikal lain, motosikal Speedway berfungsi tanpa brek, gear dan suspensi belakang.

 

 

 

Hak Milik Terpelihara 2004 - 2007  Silversports (M) Sdn Bhd