64 EMAS MILIK
KITA
Oleh Aiman
Aminul
Korat, 14 Dis
- Acara terjun menghadiahkan lima pingat emas dari kolam renang,
namun ianya Moh Keen Ho dari acara snuker perseorangan lelaki
yang menghadirkan pingat emas ke-64 kontinjen negara, yang
sekaligus memastikan sasaran membawa pulang 64 emas dari bumi
Korat tercapai.
Kesungguhan
mencari 10 emas pada hari kedua terakhir, dapat disaksikan sejak
awal pagi lagi menerusi gandingan Cheong Jun Hong dan Pandalela
Rinong yang memenangi acara 10m platform terjun serentak wanita,
diikuti pasangan Yeoh Ken Nee dan Rossharisham Roslan dalam
acara 3m papan anjal terjun serentak lelaki.
Kegagahan
Malaysia dalam acara tejun, diteruskan di sebelah petang oleh
Bryan Nickson Lomas yang mempertahankan pingat emasnya dalam
acara 10m platform lelaki, sebelum Yeoh Ken Nee memungut pingat
emas keduanya hari ini dengan memenangi acara 1m papan anjal,
dan gandingan Leong Mun Yee - Elizabeth Jimie melengkapkan hari
gemilang di kolam renang menerusi acara 3m papan anjal terjun
serentak wanita untuk mengutip emas kelima.
Kejayaan Keen
Ho, menamatkan penantian selama lapan tahun untuk membawa pulang
pingat emas pertama acara snuker perseorangan lelaki.
Dua lagi emas
disumbangkan Mohd Romzi Muhamad bagi kategori laser standard dan
Nurul Elia Anuar bagi kategori laser radial pada hari terakhir
saingan di Ocean Marina Yatch Club di Pattaya.
Mohd Romzi
mengungguli saingan 11 perlumbaan itu dengan 13 mata, mengatasi
pencabar terdekatnya dari Singapura, Koh Seng Leong yang
memenangi pingat perak manakala peserta tuan rumah, Manat
Phothong, hanya mampu berpuas hati di tempat ketiga.
Nurul Elia
Anuar pemenang pingat gangsa acara optimist Sukan Asia Doha 2006
mengatasi peserta Singapura, Tam Shiu Won Siobhan untuk meraih
pingat emas manakala pingat gangsa dimenangi Chimsawat Sai dari
Thailand.
Boling turut
cemerlang, apabila, gandingan Shalin dan Zulmazran dalam acara
boling beregu campuran mencapai sasaran empat pingat emas, dalam
aksi hari terakhir di SF Strike Bowl Rampkhamhaeng di Bangkok.
Shalin dan
Zulmazran melakukan 2403 jatuhan pin dari enam permainan
mengenepikan gandingan dari Filipina, Rivera Engelberto dan Del
Rosario Maria Iza yang melakukan 2388 untuk meraih perak dan
gangsa menjadi milik tuan rumah Thailand.
Sementara itu,
Elaine Teo melalui detik penuh dramatik sebelum berjaya
menjuarai kategori bawah 51kg wanita sekaligus menghadiahkan
pingat emas kedua kepada skuad taekwondo negara pada hari
terakhir saingan, petang tadi.
Elaine
bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menyamakan kedudukan,
sebelum tendangan terakhirnya ketika masa hanya berbaki tiga
saat, membolehkannya menundukkan atlet Filipina, Loraine Lorelie
Catalan dengan kiraan mata 3-2, pada aksi yang berlangsung di
Dewan Universiti Vongchavalitkul.