Kembali ke laman utama     

   

SELAMAT TINGGAL KORAT, JUMPA DI LAOS

Oleh Aiman Aminul

 

Korat, 15 Dis - Malaysia mencipta kejayaan paling cemerlang dalam sejarah temasya di luar Kuala Lumpur, apabila mengutip keseluruhan 68 pingat emas untuk menduduki tempat kedua di belakang tuan rumah, Thailand.pada Sukan SEA edisi ke-24 yang ditutup secara rasminya di sini, malam tadi.

 

Barisan atlet dan pegawai kontijen negara bersorak kegembiraan bagi meraikan kejayaan mengatasi sasaran 64 emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sebaik majlis penutupan rasmi disempurnakan Perdana Menteri Thailand, Jeneral (B) Surayud Chulanont.

 

Walaupun kejayaan memenangi 68 pingat emas tidak dapat mengatasi pencapaian terbaik 111 emas yang pernah dimenangi Malaysia ketika menjadi tuan rumah temasya edisi ke-21 di Kuala Lumpur pada tahun 2001, namun, jelas pencapaian ini merupakan pencapaian terbaik kontinjen Sukan SEA sebagai bukan negara tuan rumah dengan mengatasi rekod kutipan emas tertinggi - 61 emas yang dimenangi pada temasya dua tahun lalu di Filipina.

 

Tiga dari empat pingat emas terakhir kontinjen negara pada hari terakhir, hadir menerusi acara gimnastik berirama (gimrama) individu yang diungguli Chrystal Lim yang memenangi disiplin tali (15.475 mata), belantan (15.975 mata) dan reben (15.425 mata) sebelum tewas dalam disiplin gelung  (15.525 mata) untuk meraih perak di Stadium Tertutup Ulang Tahun Keputeraan Raja Thailand, dan Sukan Kuda Polo menutup tirai dengan menghadiahkan emas ke-68.

 

Thailand selaku tuan rumah, unggul dengan muncul juara keseluruhan dengan pungutan 183-123-102 diikuti Malaysia, Vietnam, Indonesia, Singapura, Filipina, Myanmar, Laos, Kemboja dan Brunei, dengan hanya Timor Leste muncul negara yang tidak memenangi sebarang pingat.

 

Bagi Thailand, mereka jelas mempunyai sebab tersendiri untuk meraikan kejayaan mereka muncul juara keseluruhan kerana ia dianggap sebagai hadiah istimewa kepada raja mereka, Raja Bhumibol Adulyadej yang menyambut ulang tahun keputeraannya yang ke-80, sehari sebelum temasya ini dirasmikan pada 6 Disember lalu.

 

Lebih membanggakan, perenang Thailand Nantahanan Junkrajang dipilih sebagai atlet wanita terbaik manakala perenang Filipina, Miguel Molina dipilih sebagai atlet lelaki terbaik, semalam apabila meraih empat emas.

 

Namun di sebalik kejayaan dan kemeriahan itu, temasya kali ini turut tidak sunyi daripada kontroversi terutama yang membabitkan mutu pengadilan yang rendah dan berat sebelah.

 

Insiden membaling kerusi ke dalam gelanggang, peralatan papan markah yang tidak mengikut spesifikasi badan sukan dunia, pemilihan juri yang meragukan, diikuti tindakan enam petinju Filipina memulaukan perlawanan akhir serta tindakan menteri sukan Indonesia sendiri turun padang melakukan bantahan sedikit sebanyak membayangi ketelusan temasya ini.

 

 

 

Hak Milik Terpelihara 2004 - 2007  Silversports (M) Sdn Bhd