|
JERMAN JUARA, MALAYSIA TERCOROT
Oleh : Aiman Aminul
Bukit Jalil, 9 Dis – Jerman meneruskan dominasi dalam
acara hoki lelaki, sesudah menundukkan Australia 1-0 untuk
menjuarai Hoki Trofi Juara-Juara yang melabuhkan tirainya, malam
tadi.
Gol tunggal jaringan Timo Wess pada minit ke-5 sudah mencukupi
buat juara dunia itu merangkul gelaran Trofi Juara-Juara
kesembilan dalam sejarah mereka, setelah kali terakhir
memenanginya pada tahun 2001.
Kekalahan ini jelas merupakan satu tamparan hebat buat
pemain-pemain Australia, yang turun ke padang dengan keyakinan
mampu mengulangi persembahan cemerlang menewaskan lawan yang
sama 5-0 sehari sebelumnya.
Sementara itu dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh, pasukan
negara akur dengan kehebatan Pakistan, apabila tewas kepada
jaringan emas pakar flick, Imran Muhammad pada minit ke-73.
Malaysia sebelum itu bangkit menyamakan kedudukan setelah
ketinggalan dua gol hasil jaringan Imran Muhammad pada minit
ke-7 dan Arshad Muhammad, lima minit selepas permainan
bersambung, terima kasih kepada Tengku Ahmad Tajudin yang
menjaringkan dua gol pantas pada minit ke-58 dan 61.
Kekalahan ini sekaligus menyaksikan pasukan negara menamatkan
kempen Trofi Juara-Juara tanpa sebarang kemenangan – satu rekod
cukup mengaibkan bagi tuan rumah.
|