
KEBUDAYAAN
Oleh Siti Hawa dan Mirza Azlina

Berlangsungnya majlis penyampaian hadiah bagi acara kebudayaan,
yang telahpun menutup tirai pada 15 dan 16 Disember 2007,
melibatkan penyertaan dalam empat kategori iaitu tarian muhibbah,
tarian etnik, lagu rakyat dan koir patriotic menyaksikan Gerakan
Belia 4B dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Ipoh
ini turut diserikan dengan kehadiran dif-dif jemputan antaranya
Dato’ Shamsul Anuar Hj. Nasarah yang merupakan Presiden Majlis
Belia Malaysia, Brigidier Jeneral Dato’ Liew Yun Fah, Menteri
Belia dan Sukan Sabah, serta Dato Rusmady Dato Sulai, Timbalan
Setiausaha Sabah.
Majlis dimulakan dengan persembahan tarian yang cukup
menghiburkan dari beberapa pasukan yang mengambil bahagian,
sebelum pemenang-pemenang bagi kategori tarian kebudayaan dan
nyanyian lagu rakyat diumumkan.
Lagu Malaysia Berjaya dan Lenggang Mak Inang membawa tuah kepada
pasukan Gerakan Belia 4B Malaysia yang diumumkan sebagai Johan
bagi kategori lagu rakyat sementara tempat kedua dimenangi oleh
Majlis Belia Negeri Johor menerusi lagu Malaysia Tanah Airku
dan Tanjung Puteri.
Tuan rumah, Majlis Belia Negeri Perak yang mempersembahkan lagu
Warisan dan Lagu Rakyat Perak pula hanya mampu berpuas hati
dengan menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori tarian kebudayaan pula, Gerakan Belia Bersatu
Malaysia (GBBM) dinobatkan sebagai johan menerusi persembahan
tarian Muhibbah yang bermaksud perpaduan masyarakat bagi
kategori Irama Muhibbah, dan Tarian Cina Xi Yuen yang bermaksud
keriangan menyambut hari bahagia bagi kategori irama etnik
setelah mengumpul 72 dari 100 markah keseluruhan
Naib johan pula jatuh kepada Majlis Sukan Negeri Sabah dengan
persembahan mengagumkan mereka, Tarian Rampai Malaysia bagi
kategori Irama Muhibbah dan Tarian etnik Negeri Sabah bagi
kategori Irama Etnik, dengan pungutan 71.5 markah.
Dengan dibezakan hanya 0.5 mata, Majlis Gabungan Belia Negeri
Melaka berada di tempat ketiga dengan tarian Malaysiaku Gemilang
untuk kategori Irama Muhibbah serta persembahan Irama Asli,
Inang & Joget bagi kategori Tarian Irama Etnik.
Sementara itu, dalam acara nyanyian koir patriotic yang
berlangsung pada 16 Disember, Tujuh kumpulan telah membuat
persembahan dengan MBN Perak dan MBN Johor muncul kontinjen yang
paling mencuri tumpuan dengan masing-masing membawakan lagu
Warisan dan Malaysia Tanah Airku.
Kontinjen lain yang turut membuat persembahan adalah Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), serta Majlis Belia Negeri
Terengganu yang juga menyanyikan lagu Malaysia Tanah Airku,
Majlis Belia Negeri Selangor dengan lagu Malaysiaku Gemilang,
Majlis Gabungan Belia Melaka yang membawakan lagu Kemegahan
Negaraku, dan Gerakan Belia 4B Malaysia dengan nyanyian lagu
Malaysia Berjaya.