Kembali ke laman utama     

   

 

KEDAH UNGGUL

Oleh Aiman Aminul

 

 

Pasukan Belia Negeri Kedah menutup tirai edisi sulung Pesta Sukan dan Kebudayaan Belia Malaysia 2007 setelah muncul juara menewaskan MBN Selangor, 2-1 dalam aksi cukup sengit antara dua pasukan yang layak ke perlawanan  akhir berbekalkan rekod cemerlang.

 

Kedah, dibimbing bekas pemain negeri, Shaharoni Che Ahmad, tidak menunggu lama untuk mendahului apabila Issaini Idrus menjaringkan gol pertama pada minit ke-11, menewaskan Mohd Tarmezi di gawang Selangor.

 

Aksi babak pertama berkesudahan dengan kedudukan kekal 1-0, dengan Selangor gagal menemui rentak cemerlang seperti dipersembah pada aksi sebelumnya.

 

Babak kedua menyaksikan aksi agresif kedua-dua pasukan, yang memaksa pengadil perlawanan melayangkan 4 kad kuning, dan 1 kad merah.

 

Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 38, menerusi Fadli Hashim yang menanduk masuk sepakan percuma Norazman Hashim, yang bijak memerangkap pertahanan Kedah.

 

Tatkala kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan, pemain Kedah Nor Izaham Zainon dilayangkan kad merah setelah melakukan bentesan keras ke atas Norkhairy Ibrahim.

 

Selangor seharusnya mendahului pada minit ke 41, namun percubaan Khairul Fazli sedikit melewati palang gol, dan kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh barisan Kedah, yang berjaya menjaringkan gol kedua 2 minit kemudian, menerusi sepakan penalty yang disempurnakan Norizam Harun, setelah bola terkena tangan Roliehelmi di dalam kotak penalty. 

 

Walaupun melakukan asakan demi asakan pada 10 minit terakhir, namun Selangor gagal mengambil kesempatan ke atas barisan 10 pemain Kedah yang Kebal bertahan.

 

Dengan kemenangan ini, Kedah membawa pulang pingat dan RM 1000, sementara Selangor sebagai naib johan membawa pulang pingat dan RM 700, tempat ketiga dimenangi Negeri Sembilan yang turut membawa pulang pingat dan RM 500.

 

Dalam aksi separuh aksi sebelum itu, MBN Kedah menundukkan MB Negeri Sembilan 2-0, manakala Selangor bernasib baik diberikan kemenangan 1-0, pada perlawanan yang terpaksa dihentikan pada minit ke-43 setelah pemain Kelantan bertindak menyerang pengadil perlawanan untuk membantah gol jaringan pemain Selangor pada minit ke-42, yang didakwa sudahpun offsaid terlebih dahulu.