JAGUH BARU KEKAL TRADISI, CIPTA REKOD BARU
Oleh : Aiman Aminul
Korat, Thailand
10 Dis – Tiada lagi Nur Herman Majid, tiada lagi Robbani
Hasan, kini giliran anak muda kelahiran Keningau, Sabah – Rayzam
Shah Wan Sofian mencuri tumpuan setelah bukan sahaja meneruskan
tradisi Malaysia dalam acara 110m, malah memperbaharui rekod
Sukan SEA dengan catatan 13.91 saat.
Kejayaan itu sekaligus menyaksikan atlet negara mendominasi
acara 110m lari berpagar lelaki Sukan SEA, setelah Robbani
Hassan memenanginya di Manila dua tahun lepas, manakala Nur
Herman Majid berjaya melakukannya dalam enam Kejohanan Sukan SEA
berturut-turut. .
Rayzam mengatasi rekod lama dipegang Suphan, 13.92s yang
dilakukannya di Manila, sekaligus mengejutkan atlit pilihan dari
Thailand itu, termasuk rakan senegara Muhd Faiz Mohamad.
Suphan dari Thailand, memenangi pingat perak dengan catatan masa
13.95s, manakala Muhd Faiz, sekali lagi kempunan, memenangi
gangsa dengan catatan 14.00s – setelah meraih perak dua tahun
lalu di Manila.
“Saya gembira dapat mengatasi rekod terbaik peribadi saya,
14.15s, yang dilakukan di Kangar dua bulan lalu, dan dalam masa
sama berazam untuk memadam rekod Robbani, 13.88s. “ – Rayzam –
Sementara itu, Moh Siew Wei gagal mempertahankan emas acara 100m
lari berpagar wanita, setelah hanya mampu menduduki tempat kedua
untuk meraih pingat perak, di belakang pelari Indonesia, Dedeh
Irawati.
Siew Wei, yang menpunyai rekod cemerlang di lima kejohanan Sukan
SEA – 1 emas, 2 Perak, 2 gangsa – nyata agak kecewa kerana
membenarkan Dedeh memintasnya pada saat terakhir, sekaligus
memadam impiannya untuk menghadiahkan emas kepada jurulatihnya,
Hanafiah Nasir.
Pada satu ketika, Siew Wei yang diletakkan sebagai prospek emas
dilihat mampu menambah pungutan emas kontinjen negara, namun dua
halangan terakhir menyaksikan Dedeh memintasnya untuk muncul
sebagai pemenang.
Dalam saingan petang tadi, Dedeh Irawati memenangi emas dengan
catatan masa 13.51s, manakala Siew Wei di tempat kedua dengan
13.61, dan gangsa milik peserta tuan rumah, Wallapa Pansoongneun,
13.85s.