KILAUAN EMAS KONTINJEN NEGARA
Oleh : Aiman Aminul
Korat, Thailand, 9 Dis
– Kontinjen negara terus menambah koleksi emas di Sukan SEA
ke-24 di Korat, Thailand, menjadikan jumlah keseluruhan 15 emas
untuk negara pada hari keempat kejohanan, namun hasrat membawa
pulang 64 emas dari bumi Thailand masih menjadi persoalan
berikutan kegagalan beberapa atlit prospek emas di temasya kali
ini.
Setelah menyaksikan Khoo Cai Lin dan Daniel Bego masing-masing
cemerlang dengan kejayaan merangkul emas serta mencipta rekod
baru Sukan SEA, atlet negara menambah pungutan emas menerusi
acara Olahraga, Wusyu, Triatlon, Ekuestrian dan Boling.
Teoh Boon Lim dan Yuan Yu Fang menghadiahkan emas berganda pagi
tadi, sekaligus memastikan Malaysia meneruskan dominasi dalam
acara 20KM Jalan Kaki Lelaki dan Wanita, walaupun kecewa dengan
keputusan juri membatalkan penyertaan juara dua kali,
Shahrulhaizy Abd Rahman, 2KM sebelum tamat perlumbaan.
Bagi Boon Lim, ini merupakan kejayaan cukup manis buatnya,
setelah menyepi enam tahun dari arena Sukan SEA, sementara Yu
Fang pula merangkul emas Sukan SEA buat kali keenam, dan yang
kelima dalam acara 20KM jalan kaki.
Wusyu turut menyumbang emas, menerusi Chai Fong Ying dalam acara
Taijiquan Wanita, yang mengutip 19.18 mata menerusi gabungan
dua acara (Tinju dan Pedang Taiji), mengatasi rakan senegara, Ng
Shin Yii (19.09 mata), sementara gangsa dimenangi Janice Hung
(18.77) dari Filipina.
Ekuestrian juga cemerlang, apabila pasangan adik-beradik Qabil
Ambak dan Quzandria Nur menghadiahkan emas dan perak acara
dressage individu, dengan Qabil memungut 70.150 mata untuk
meraih emas, manakala Quzandria (67.250) untuk perak.
Sementara itu, wanita besi negara, Kimbeley Yap mempertahankan
pingat emas dimenangi di Manila dua tahun lepas, sekaligus
mencerahkan peluangnya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik
Beijing tahun depan.