MALAYSIA
GAGAL SEKAT
KOREA
Oleh : Aiman
Aminul
Pasukan negara
bangkit dari ketinggalan satu gol untuk mendahului Korea di
babak pertama, namun ia belum cukup bagi anak buah Sarjit Singh
dari menghalang amukan Korea, yang menang 3-2 dalam aksi berat
sebelah di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Dengan Korea
masih segar berikutan kemenangan besar mengatasi Belanda 6-2,
dua hari lepas, episod sama dijangka akan berulang kepada
pasukan negara, setelah pukulan sudut penalti diperoleh Korea,
disempurnakan pakar flicknya, Jong Hyun Jang seawal minit ke-5.
Pasukan negara
bangkit melawan selepas itu, dan hasil dari gerakan dimulakan
Chua Boon Huat, kekeliruan di barisan pertahanan Korea,
membolehkan S.Selvaraju membuat pukulan kencang ke dalam gol
menewaskan Ko Dong Sik pada minit ke-13.
Malaysia mula
mendapat rentak selepas gol pertama tersebut, dan memperoleh gol
kedua kali ini setelah pukulan percuma Mohd Mazli Ikmar gagal
dikeluarkan dari kawasan bahaya, pantas disambar Azlan Misron
untuk menjaringkan gol kedua, sekaligus meletakkan pasukan
negara mendahului pada babak pertama.
Seperti dijangka,
Korea bagaikan dirasuk pada babak kedua, dalam usaha mengelakkan
reputasi selaku juara asia tercalar di tangan tuan rumah, dan
mereka berjaya mendapatkan gol kedua menerusi pukulan Oh Dae
Keun pada minit ke-53 yang langsung tidak dapat diselamatkan
penjaga gol negara, S.Kumar.
Ternyata, Korea
mendominasi perlawanan, dan langsung tidak membenarkan pasukan
negara mengawal bola, dengan corak permainan agresif ditambah
dengan beberapa keputusan pengadil yang nyata boleh
dipertikaikan, termasuk layangan kad kuning terhadap pemain
lincah, Ismail Abu pada ketika permainan berbaki enam minit.
Tatkala Malaysia
cuba bertahan untuk mendapatkan satu mata, gol kontroversi
Korea hadir pada minit terakhir perlawanan, apabila Hyo Sik You
menyambar bola pukulan bebas pertahanan negara, Megat Azrafiq
Megat Termizi, dari jarak dekat sebelum melepaskan pukulan
kencang menewaskan S.Kumar, sekaligus memastikan pasukan negara
kekal di tangga tercorot.