Kembali ke laman utama     

 

 

SEPANYOL MENGGANAS DI BUKIT JALIL

Oleh : Aiman Aminul

 

Bukit Jalil 8 Disember – Sepanyol berpesta gol, tatkala mereka mencipta kemenangan besar 7-2 mengatasi tuan rumah Malaysia, dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, di Bukit Jalil petang tadi.

 

Kemenangan ini sekaligus, membuka peluang kepada pasukan El Matador untuk mengintai slot ke perlawanan akhir, dengan perlu mengharapkan Korea, Australia dan Netherlands gagal mencatat kemenangan menentang lawan masing-masing.

 

Turun pada perlawanan terakhir, tiada apa yang diperjuangkan skuad negara selain mengelakkan imej selaku tuan rumah dari tercalar lebih teruk, setelah tewas lima dari enam perlawanan sebelum, dan hanya mampu berpuas hati dengan satu mata ketika bertemu Pakistan.

Sepanyol menjaringkan empat gol dalam enam minit, untuk mendahului selesa 4-0 pada babak pertama, membenarkan pasukan negara bangkit menjaringkan dua gol untuk merapatkan kedudukan,  sebelum tiga gol lagi menyusul bagi melengkapkan kemenangan besar pemenang pingat gangsa Piala Dunia 2006 ini.

 

Gol pertama Sepanyol hadir pada minit ke-20, apabila pukulan David Alegre tertampan kayu hoki pemain negara sebelum masuk ke dalam gawang, dan selang tiga minit kemudian gol kedua pula menyusul menerusi Victor Sojo, sebelum Eduard Tubau menjaringkan dua gol pada minit ke-25, dan 26.

 

Malaysia menjaringkan dua gol pantas sejurus bermula babak kedua, menerusi Chua Boon Huat (m-39) dan S.Selvaraju (m-42), namun Sepanyol memadam api kebangkitan pasukan negara, menerusi tiga lagi gol, masing-masing satu melalui David Alegre (m-45), Xavier Ribas (m-47) dan Eduard Arbos (m-61) 

 

 

Hak Milik Terpelihara 2004 - 2007  Silversports (M) Sdn Bhd