Kembali ke laman utama     

   

SINGA SINGKIRKAN HARIMAU MALAYA

Oleh: Aiman Aminul

 

Pemain pasukan negara, Sumardi b Hajalan dan pemain Singapura

Ridhuan b Mohamad sedang merebut bola ketika pertemuan

Malaysia dan Singapura di Nakhon Ratchasima.

 

Badi 18 tahun yang dijangka mampu berakhir pada Sukan SEA edisi kali ini, sekali lagi menghadirkan episod duka yang tidak berkesudahan, apabila pasukan bolasepak negara, hanya mampu seri 1-1 dengan Singapura, sekaligus memadam hasrat sekurang-kurangnya mengekalkan pingat gangsa yang dimenangi pada temasya Sukan SEA dua tahun lepas di Filipina.

 

Jelas, anak buah B.Sathianathan bukanlah calon paling layak merealisasikan impian jutaan peminat bolasepak tanah air, setelah membenarkan lawan menyamakan kedudukan pada ketika perlawanan berbaki sepuluh minit untuk tamat.

 

Turun pada perlawanan terakhir kumpulan B, pasukan negara sedar hanya kemenangan yang boleh menjamin tiket ke separuh akhir – seri atau kalah boleh ucap selamat tinggal Korat – dan sekali lagi, pasukan negara dikerah menunggu hingga 20 minit terakhir untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan Amirulhadi Zainal.

 

Pasukan negara yang seharusnya mempertahankan kelebihan itu, sebaliknya memberi ruang kepada Singapura – yang hanya memerlukan keputusan seri -  untuk menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian kelahiran Nigeria, Agu Casmir, pada minit ke-80.

 

Malaysia seharusnya mencuri tiga mata, jika tidak kerana percubaan Amirulhadi pada masa kecederaan singgah di palang gol, manakala percubaan Safee Sali pula digagalkan penjaga gol Singapura seminit selepas itu.

 

“Sememangnya ia adalah perlawanan yang agak sukar bagi kami, saya betul-betul kecewa, kami mendahului lawan tetapi kemudiannya hilang konsentrasi dan membenarkan mereka menyamakan kedudukan” – B.Sathianathan

 

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, Vietnam menewaskan Laos 2-1, untuk menempah pertemuan separuh akhir menentang Myanmar yang membelasah Kemboja 6-2,  manakala tuan rumah Thailand yang menyingkirkan Indonesia, akan bertemu pasukan Singapura selasa ini.

 

 

 

Hak Milik Terpelihara 2004 - 2007  Silversports (M) Sdn Bhd