Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

LTdL 08 : Anuar Gagal Pertahan Jersi Hijau

 


Dikemaskini : 14 Feb 2008 02:59 PM

DUA hari mencipta sejarah memakai Jersi Hijau selaku Raja Pecut pada perlumbaan jelajah terbesar Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL), Anuar Manan terpaksa menyerahkan gelaran itu kepada pelumba Bouygues Telecom, Aurlien Clerc, semalam.

Nyata Clerc, pelumba berusia 28 tahun dari Switzerland yang sudah cuba merampas jersi itu sejak Peringkat 3 lagi bukan tandingan Anuar dari segi taktikal kerana dia berupaya memasang strategi serampang dua mata pada edisi ke-13 kali ini.

Hasilnya, dia bukan saja dapat merampas Jersi Hijau milik Anuar, malah lebih penting dari itu berupaya menyekat pesaing rakan sepasukannya, Matthieu Sprick dari memungut mata untuk mengekalkan kelebihan Sprick sebagai pemilik Jersi Kuning.

Anuar pula yang semakin kehilangan mata selepas asakan Clerc yang hanya ketinggalan dua mata di belakangnya kelmarin, tidak mampu berbuat apa-apa apabila Clerc mengumpul 11 mata hasil kejayaan di tiga Zon Pecutan dan selebihnya mata bonus bagi mendahului dengan 54 mata berbanding 47 milik Anuar.

"Saya akan cuba merampas kembali Jersi Hijau daripada Clerc," kata Anuar yang masih mampu menjuarai Zon Pecutan 1 di Kota Tinggi berbanding Clerc yang mengumpul mata di semua tiga zon berkenaan termasuk di Ulu Tiram dan Bandar Penawar.

Anuar menjelaskan, selepas memakai jersi berkenaan selama dua peringkat, pelumba lain terutama dari pasukan berstatus ProTour, Bouygues Telecom mula cuba menyekatnya sehingga dia tersekat pada cubaan untuk mendapatkan lebih banyak mata.

"Saya tidak dapat sebarang mata di zon pecut pertama kerana pasukan Bouygues mengawal ketat bagi menghalang saya mendapat mata.

"Tapi di zon pecut kedua di Kota Tinggi, saya berjaya meloloskan diri untuk meraih lima mata," katanya.

Menyedari Jersi Hijau semakin terlepas dari genggaman, Anuar cuba bertindak pantas membuat pemecahan di 800m terakhir untuk membolehkannya meraih mata bonus tetapi kayuhan pantas Clerc lebih bertenaga apabila menduduki tangga ketiga berbanding keenam buat Anuar.

Bagi Clerc pula, perlumbaan semalam sentiasa bagus buatnya bukan saja kerana berupaya merampas Jersi Hijau tetapi mempertahankan Jersi Kuning milik Sprick selaku pendahulu keseluruhan sebaik berakhir Peringkat 1.

"Ia bagus untuk pasukan dan saya sendiri. Walaupun saya melakukan banyak pecutan ia tidak banyak membazirkan tenaga kerana kami perlu mara," katanya mengenai tindakannya itu yang boleh menyebabkan dia kehilangan tenaga untuk mempertahankan Sprick.

"Sekarang saya ada jersi ini dan akan mempertahankannya tetapi saya perlu mempertahankan Matthieu, jika kehilangan jersi ini sekalipun ia tidak mengapa."

 

Cetak laman ini