Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Kriket ICC U-19 : Hujan Bantu Kemaraan England

 


Dikemaskini : 28 Feb 2008 09:40 PM

 

Pukulan 'batting' hebat daripada kedua-dua pasukan seharusnya menyudahkan satu aksi hebat tetapi hujan menjejaskan permainan yang menyaksikan England muncul pemenang selepas menewaskan Sri Lanka dengan lapan larian dalam saingan Kejohanan Kriket Piala Dunia ICC Bawah 19 Tahun di Kelab Diraja Selangor, semalam.

Pasukan Inggeris itu kini akan melangkah ke perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam saingan Super Eight menentang sama ada Bangladesh atau Australia pada 1 Mac ini.

Perlawanan itu dimulakan selepas kedua-dua pasukan itu bertafakur selama seminit sebagai penghormatan kepada bekas Presiden Kriket Sri Lanka, Tyrone Fernando yang meninggal dunia, baru-baru ini.

“Kami gembira dapat kembali semula ke landasan kemenangan. Kami bermula baik dalam perlawanan memanaskan diri menentang Pakistan tetapi kalah kepada India dalam suku akhir kelmarin. Kami bertindak baik kali ini,” kata ketua pasukan, Tom Westley, semalam.

Sementara itu, Hindia Barat - barisan yang dinilai belum cukup ramuan untuk berada dalam kelompok elit akhirnya berjaya mendapat sedikit sagu hati penyertaan bagi edisi kali ini.

Mereka berjaya layak ke final kejuaraan Plate - kejohanan bagi pasukan yang gagal layak ke saingan Super Eight - selepas mengatasi Papua New Guinea dengan kemenangan enam wiket di padang Kolej Latihan Perguruan Temmengong Ibrahim di Johor Bahru, semalam.

Hindia Barat akan menentang juara bertahan, Nepal dalam final di Kuala Lumpur, Sabtu ini di Bayuemas Oval.

“Kami tidak mampu menjuarai trofi besar tetapi memadai jika memenangi Plate. Sekurang-kurangnya kami tidak pulang dengan tangan kosong,” kata jurulatih pasukan, Larry Gomes.

Realitinya, PNG bukan tandingan Hindia Barat apabila disingkirkan untuk 89 bagi 36.5 over dengan pembukaan 37 bola oleh Kieran Powell termasuk empat pukulan ke sempadan yang memberi petanda awal mengenai batting hebat oleh pihak lawan itu.

Catatan 26 oleh Adrian Barath memastikan Hindia Barat menguatkan cengkaman untuk menuju kemenangan apabila mencecah 90-4 dalam 15.3 over sahaja.

 

 

Cetak laman ini