|
Impian
Olimpik
Elaine, Che
Di
Penghujung
Tanduk ? |
Dikemaskini :
18 Feb 2008 11:19 PM
Kuala Lumpur, 17 Feb
- Impian melihat dua
atlit taekwondo,
Elaine Teoh dan Che
Chew Chan bersaing
di Olimpik bakal
terkubur ekoran
surat terbaru
pejabat Pesuruhjaya
Sukan tidak
mengiktiraf badan
induk sukan itu.
Surat Pesuruhjaya
Sukan bertarikh 5
Februari lalu kepada
Pengarah Pengurusan
Acara Majlis Sukan
Negara (MSN) Ab
Jalil Abdullah,
menegaskan kedudukan
Persatuan Taekwondo
Malaysia (MTA)
ketika ini, masih
belum didaftarkan
semula dengan
pejabat itu.
“Berikutan itu,
Persekutuan
Taekwondo Malaysia (MTF)
ketika ini masih
lagi berfungsi
sebagai badan
pengelola sukan itu
di Malaysia dan
keputusan sudah
dibuat supaya MTA
mengadakan Mesyuarat
Agung Tahunan yang
baru”, menurut surat
berkenaan.
Susulan surat itu,
Jalil mengeluarkan
surat bertarikh 6
Februari, bagi
memaklumkan kepada
pengelola Sukma
Terengganu bahawa
MTF adalah badan
yang
bertanggungjawab
pada Sukma lalu.
Mengulas
perkembangan ini,
Setiausaha Agung MTA,
T Kumar, hairan
dengan keadaan itu
kerana MTA sebelum
ini sudah pun
diberikan taraf
status quo menerusi
arahan Menteri Belia
dan Sukan, Datuk
Seri Azalina Othman,
pada Julai tahun
lalu.
“Bagaimana kita
boleh menghantar
atlit ke kelayakan
Olimpik pada
November dan Sukan
Sea, dua bulan lalu
jika MTA tidak
diiktiraf. Pejabat
Pesuruhjaya Sukan
melakukan kerja
tidak masuk akal dan
langkah ini jelas
mencetuskan
persoalan mengenai
taraf Sukma.
“Lebih buruk lagi,
Elaine dan Chew Chan
tidak dapat beraksi
di Olimpik Beijing
Ogos depan kerana
kedua-duanya adalah
atlit MTA, yang
tidak lagi diiktiraf,”
katanya ketika
dihubungi semalam.
Ditanya kenapa MTA
tidak segera
mendaftarkan semula
persatuan itu sebaik
saja selepas Azalina
membatalkan
keputusan
Pesuruhjaya Sukan
menggantung
persatuan itu selama
lebih dua tahun lalu,
Kumar berkata,
mereka menganggap
keputusan Azalina
itu sebagai
mengembalikan status
quo kepada MTA.
“Ini bermakna
keputusan ke atas
MTA sebelum ini
terbatal dan secara
automatik ia menjadi
persatuan induk yang
sah tanpa perlu kami
mendaftar semula,”
katanya.
MTA dibatalkan
pendaftarannya oleh
Pesuruhjaya Sukan
tiga tahun lalu,
berpunca daripada
pergelutan kuasa
antara MTA dan
Persatuan
Kelab-kelab
Taekwondo Malaysia (MTCA)
yang kemudian
menyaksikan
penubuhan MTF.
Bagaimanapun,
Azalina membatalkan
keputusan itu
selepas mendapati
Persekutuan
Taekwondo Dunia
hanya mengiktiraf
MTA sebagai badan
induk di Malaysia
tetapi kelulusan itu
bersandarkan syarat,
ia mesti menerima
semua kelab di bawah
MTF serta persatuan
lain, bagi
membolehkan atlit
taekwondo kembali
beraksi di pentas
antarabangsa.