|
Isu Dalaman
MPGA
Memuncak |
Dikemaskini :
26 Feb 2008 10:28 PM
Kemelut dalaman
Persatuan
Profesional Golf
Malaysia (MPGA)
semakin memuncak
apabila Naib
Presidennya, Abdul
Aziz Ismail membuat
laporan kepada Badan
Pencegah Rasuah (BPR)
untuk menyiasat
Pesuruhjaya Sukan
yang didakwanya
punca kegagalan kes
itu diselesaikan
sehingga sekarang.
Abdul Aziz dalam
aduan kepada Ketua
Pengarah BPR, Datuk
Ahmad Said Hamdan di
pejabatnya di
Putrajaya semalam,
menggesa badan itu
membuka fail
siasatan terhadap
Tan Sri Elyas Omar
yang didakwa
menerima suapan
daripada Presiden
MPGA, Datuk Ithnin
Yacob agar keputusan
yang diambil
berpihak kepada
Ithnin.
Dakwaan itu timbul
selepas beberapa
laporan salah laku
wang persatuan yang
dikemukakan Abdul
Aziz kepada Elyas
difahamkan tidak
mendapat
perhatiannya.
Antaranya salah laku
yang dilaporkan
kepada Elyas adalah
tuntutan palsu
RM1,200 oleh
setiausaha MPGA, S
Selvakumar yang
dilindungi Ithnin,
penyalahgunaan
RM2,000 oleh
Selvakumar untuk
menyertai kejohanan
di Bangkok.
Kemelut MPGA bermula
apabila timbul
tuduhan salah laku
presiden pada
Januari 2007 -
antaranya
mengetepikan hak 62
pemain yang tidak
bersekutu dengannya
untuk mengundi dalam
mesyuarat agung
tahunan (AGM) MPGA
pada 2 April tahun
lalu apabila enggan
menangguhkan
tindakan disiplin
terhadap mereka
walaupun diarahkan
Elyas.
Difahamkan, mereka
juga mendakwa Ithnin
melanggar ketetapan
menangguhkan
tindakan
penyingkiran 14 ahli
MPGA, melanggar
arahan untuk
mengadakan AGM tidak
lewat daripada 15
Mac, enggan
menangguhkan
penggantungan 48
pemain yang
bertanding dalam
Masters Selangor
serta melantik lapan
ahli majlis baru
dalam mesyuarat
majlis pada
September lalu.
Abdul Aziz juga
mendakwa Elyas
mengambil beberapa
keputusan berat
sebelah dalam
penghakimannya iaitu
tidak mengesahkannya
sebagai naib
presiden dan kekal
mengiktiraf Ithnin
dan Selvakumar
walaupun ahli PGA
mengemukakan
resolusi undi tidak
percaya kedua-dua
pegawai berkenaan
pada 24 Disember
lalu.
Beliau mahu BPR
campur tangan
selepas mengesyaki
Elyas menerima
suapan dari Ithnin
untuk tidak
mengambil apa-apa
tindakan terhadap
dirinya dan
Selvakumar.
"Saya sedia memberi
kerjasama kepada BPR
bagi melengkapkan
siasatan yang
dijalankan termasuk
memberi maklumat
lain yang ada pada
saya.
"Kemelut yang
melanda MPGA
sebahagiannya
berpunca dari salah
guna kuasa Datuk
Ithnin dan
Selvakumar.
"Sebagai naib
presiden, saya
merasa
bertanggungjawab
untuk melaporkan
salah laku itu
kepada Pesuruhjaya
Sukan, untuk
tindakan sewajarnya,"
katanya dalam aduan
yang turut diberikan
salinannya kepada
media, semalam.