Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Skuad badminton Negara Janji Aksi Mantap di Vietnam

 


Dikemaskini : 15 Feb 2008 07:32 PM

Walaupun aksi di pusingan kelayakan badminton Piala Thomas di Vietnam minggu depan hanya satu formaliti, aksi mantap dan bertenaga daripada pemain negara tetap ditagih bagi mendapat kedudukan antara dua pasukan pilihan di pusingan akhir di Jakarta, Mei nanti.

Di atas kertas, skuad Piala Thomas negara tidak berdepan kesukaran untuk mengisi satu daripada empat tiket dari pusingan kelayakan zon Asia di bandaraya Ho Chi Minh bermula Selasa ini, tetapi mereka mengejar bukan sekadar kelayakan.

Sebaliknya, apa yang dicari ialah kemenangan besar ke atas lawan masing-masing serta muncul juara pusingan kelayakan bagi menguatkan kedudukan Malaysia bagi sekurang-kurangnya mengisi kedudukan selaku pilihan kedua di belakang juara bertahan China, pada pusingan akhir nanti.

"Memang kami tidak berdepan masalah untuk melayakkan diri," kata ketua jurulatih, Yap Kim Hock selepas sesi latihan skuad negara di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

"Kami memburu lebih daripada itu dan dengan ini perlu memastikan pemain yang diturunkan memenangi perlawanan mereka bagi memastikan kedudukan mereka dalam ranking dunia meningkat serta muncul juara pusingan kelayakan.

"Jika sasaran itu dicapai, saya percaya Malaysia akan mendapat kedudukan yang baik selaku pasukan pilihan di belakang juara bertahan, China dalam saingan pusingan akhir di Jakarta nanti.

"Namun, ia tidak semudah yang semua peminat sangkakan, sebaliknya ia tetap satu cabaran kepada pemain untuk cuba merealisasikan sasaran ini," kata Kim Hock.

Malaysia diletakkan selaku pilihan pertama kelayakan Piala Thomas dan akan menentang Taiwan dan Pakistan dalam Kumpulan A. Dua pasukan teratas setiap empat kumpulan akan mara ke suku akhir dengan Malaysia kemungkinan bertemu Jepun daripada Kumpulan C dan di separuh akhir besar kemungkinan menentang Hong Kong atau Thailand.

Malaysia diramalkan menentang Korea Selatan dalam perlawanan akhir untuk menentukan juara pusingan kelayakan.

"Ketika ini, China jelas akan diletakkan sebagai pilihan pertama pada pusingan akhir selaku juara bertahan dan juga berdasarkan kekuatannya dalam acara perseorangan dan beregu," kata Kim Hock. "Ketika ini, saya nampak Malaysia bersaing dengan Indonesia untuk kedudukan pilihan kedua.

"Tetapi jika pemain negara berjaya memberikan persembahan pada pusingan kelayakan dan juga di kejohanan individu lain seperti Seluruh England dan Terbuka Switzerland bulan depan, maka kita boleh mendapat kedudukan sebagai pilihan kedua," katanya.

 

Cetak laman ini