Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Piala FA : Sang Kenari Berpesta Gol

 

 

Nurul Izzati & Siti Hawa


Dikemaskini : 21 Feb 2008 08:48 AM

 

Petaling Jaya, 19 Feb – Kedah memulakan misi mempertahankan kejuaraan Piala FA dengan bergaya setelah menundukkan PKNS Selangor 5-2 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, pada aksi peringkat pertama pusingan pertama, yang bermula malam tadi.

 

Beraksi di tempat lawan, tidak menjadi masalah kepada Kedah yang melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu PKNS sejak sepak mula permainan.

 

Pemain sayap kebangsaan, Mohd Khyril Muhymeen Zambri tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pembukaan Kedah apabila rembatan kencangnya menewaskan penjaga gol PKNS, Badrulzaman Halim.

 

Sepakan dari penyerang berbisa Kedah, Marlon Alex hampir-hampir memberi gol kedua namun percubaannya terkena palang gol pada minit ke 11, namun Marlon menebus kekecewaannya pada minit ke-18 apabila tandukannya hasil hantaran Badrul Bakhtiar sekali lagi menewaskan Badrul Zaman.

 

Bekas penyerang Kelantan, Fatrurazi Rozi merapatkan jurang dua minit kemudian, namun Marlon sekali lagi mengambil kesempatan hasil kesilapan penjaga gol PKNS yang gagal menampan kemas percubaan terdahulu dari Hasmawi Hassan, untuk menjaringkan gol ketiga Kedah pada minit ke-42.

 

Bagaimanapun, dua minit sebelum separuh masa pertama tamat, Fatrurazi Rozi sekali lagi menjaringkan gol kedua PKNS selepas kekalutan di depan pintu gol Kedah.

 

Harapan PKNS untuk bangkit memberikan saingan pada babak kedua tidak kesampaian apabila Marlon menambah derita PKNS dengan melengkapkan hatrik menjadikan kedudukan 4-2 hanya seminit selepas permainan bersambung, sebelum Badrul melengkapkan kemenangan besar sang Kenari pada minit ke-59, hasil percubaan jarak jauh, selepas penjaga gol PKNS terkeluar dari posisinya.

 

Ketua pasukan PKNS, K.Sambagamaran yang tidak beraksi kerana menjalani pengantunggan jelas kecewa tidak dapat membantu rakan-rakan beraksi pada perlawanan pertama Piala FA, dan berharap mampu bangkit memberikan saingan pada aksi timbale balik di Darul Aman nanti.

 

 

Cetak laman ini