|
LTdL 08 :
Rentak Juara
Alberto
Loddo |
Dikemaskini :
14 Feb 2008 02:58 PM

Selepas empat
peringkat dilalui
penuh debaran,
barulah juara lima
peringkat musim lalu,
Alberto Loddo
berjaya memecah
kebuntuan untuk
memenangi saingan
kelima dari Johor
Bahru ke Bandar
Penawar, Johor pada
saingan Le Tour de
Langkawi (LTdL),
semalam.
Mungkin kecewa
apabila pesaing
utamanya, Danilo
Hondo mencatat
kemenangan pertama
kelmarin, pelumba
Tinkoff Credit
Systems itu bangkit
garang pada
perlumbaan dengan
jarak 139.9
kilometer itu bagi
mengesahkan
kemenangan dengan
catatan 3 jam 07
minit, 53 saat.
Bermula di Johor
Bahru, semua 143
pelumba sudah
berasak-asak untuk
membuat pemecahan
dan setiap kali ia
berlaku, peloton
besar akan kembali
mengejar tanpa
memberi ruang untuk
pelumba mencipta
kelebihan.
Sehingga ke 10km
terakhir, pelumba
Credit Agricole,
Nocolas Roche mula
bertindak menarik
pelumba lain keluar
dari peloton besar
sambil dikejar Jose
Serpa dari
Serramenti PVC
Diquigiovanni-Selle
Italia, lantas
menghasilkan
perlumbaan yang
pantas.
Simon Clarke dari
SouthAustralian.com
pada satu ketika
memimpin perlumbaan
pada 3km terakhir
sebelum kesempatan
terhidang digunakan
Loddo untuk mencelah
pada 400 meter
terakhir.
"Pasukan kami
berkayuh dengan baik
hari ini. Semalam (kelmarin)
kami kecewa kerana
tidak mendapat
apa-apa keputusan
yang bagus tetapi
kali ini kami dapat
membaca strategi
dengan betul.
"Tinkoff berjaya
membuat pemecahan
dan selepas itu kami
dapat berehat
seketika. Pada 400m
terakhir, saya
bersendirian dan
100m selepas itu
saya melihat ada
peluang dan bergerak
dari kiri ke kanan
untuk terus ke
penamat," katanya
yang menyertai
Tinkoff musim ini
dari pasukan lamanya,
Selle Italia.
Pelumba berusia 29
tahun dari Cagliari,
Itali itu hadir
dengan reputasi
besar kali ini apa
lagi dia adalah
pemenang Peringkat
1,4,5,6 dan 10 pada
LTdL musim lalu
selain menjuarai
satu peringkat pada
Jelajah Qatar awal
tahun ini.
Dengan hanya empat
lagi peringkat perlu
dilalui, persoalan
kini timbul sama ada
Loddo akan mampu
sekali lagi
memenanginya dan
pastinya pakar pecut
itu memiliki tugas
berat berdepan
laluan pendakian
selepas ini terutama
di Bukit Fraser.
"Ia bergantung
kepada keadaan sama
ada saya boleh
melakukannya atau
tidak, setiap hari
keadaan berubah dan
saya akan cuba
sekali lagi
melakukannya,"
katanya.
Sementara itu,
Matthieu Sprick
terus mengekalkan
Jersi Kuning selaku
pendahulu
keseluruhan,
Shinishi Fukushima
dari Meitan Hompo-GDR
mengekalkan Jersi
Biru buat empat
peringkat
berturut-turut
manakala Aurlien
Clerc merampas Jersi
Hijau Raja Pecut
milik Anuar Manan.