Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Kevin Sahut Cabaran, Lengkapkan Penyertaan Hatrik Ke Olimpik

 


Dikemaskini : 14 Feb 2008 03:06 PM

Cabaran yang dilontarkan Majlis Sukan Negara (MSN) jelas membakar semangat atlit pelayaran negara, Kevin Lim apabila berjaya menempatkan dirinya ke temasya Sukan Olimpik di Beijing kelak, menerusi kategori A dalam acara standard laser senior.

Kevin melengkapkan penyertaan hatriknya ke Olimpik, selepas Sydney dan Athens apabila berjaya merebut antara 10 tempat terakhir kelayakan ke Beijing dalam Kejuaraan Laser Dunia 2008, di Terrigal, Australia.

Pada hari terakhir kejohanan itu semalam, Kevin yang bersaing dalam kelompok Silver Fleet, mengharungi ombak dan angin kencang tetapi berjaya meraih 154 mata dan menduduki tempat ke-15 kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun, ia sudah cukup untuk menempatkan dirinya dalam kelompok terbaik untuk layak ke Beijing bersama peserta dari Switzerland, Jepun, Singapura, Venezuela, Republik Dominica, Hungary, Korea Selatan dan Guatemala.

Kejayaan itu membolehkan Kevin meraih imbuhan sebanyak RM5,000 dan elaun latihan sebanyak RM1,000 sebulan sehingga Olimpik selesai dan menjadi atlit ke-13 negara layak ke Beijing.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong, berkata kejayaan itu membuktikan betapa atlit negara mampu menempah tempat ke Olimpik andai mereka bersungguh-sungguh menyertai sebarang kejohanan.

"Selepas Kevin gagal meraih sebarang pingat pada Sukan Asia Doha 2006, dia terpaksa memulakan usahanya daripada bawah. Namun dia menyahut cabaran MSN untuk membuktikan dirinya dan terbukti dia mampu melakukannya.

"MSN amat gembira dengan kejayaan ini dan akan memberikan segala bantuan untuknya sebagai persediaan ke Olimpik nanti," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pelayaran Malaysia, Megat Fairuz Khairuddin, berkata kejayaan Kevin diharap membakar semangat seorang lagi pelayar negara, Nurul Elia Anuar untuk menempah tiket ke Beijing di Kejohanan Dunia Laser Radial di Auckland, bulan depan selepas berjaya meraih emas di Sukan Sea 2007 dan Sukan Asia lalu.

 

Cetak laman ini