Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Bakat Muda - FAM Sedia Bantu

 


Dikemaskini : 28 Jan 2008 03:25 PM

 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia menyalurkan bantuan kewangan kepada pihak swasta serta orang perseorangan yang mahu mengadakan program pemupukan bakat muda untuk membantu persatuan negeri menambah pemain pelapis dalam misi Malaysia menjadi kuasa bola sepak di rantau ini.

 

Timbalan Presidennya, Khairy Jamaluddin menyanjung tinggi usaha ProMtouch yang berjaya menghimpunkan 350 pelajar sekolah untuk menjalani latihan awal bola sepak mirip usaha yang dilakukan kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kelab Eropah lain.

 

Program kendalian ProMtouch yang bermula tiga tahun lalu, mendapat pengiktirafan FAM kerana cara kursusnya serta pengendalinya memiliki kelayakan yang membolehkan anak didiknya dipanggil mewakili negara apabila masanya tiba kelak.

 

ProMTouch ketika ini sudah mengasah bakat lima kumpulan pemain mengikut peringkat iaitu bawah lapan tahun, bawah 10 tahun, bawah 12 tahun, bawah 14 tahun dan bawah 17 tahun membabitkan dua kem latihan iaitu di SK Seri Bandar, Ayer Leleh dan di Tengkera.

 

Latihan dijalankan setiap hujung minggu di bawah kendalian tujuh jurulatih termasuk seorang ketua teknikal yang memiliki lesen B FAM, iaitu Jasni Hassan.

 

"Saya memang bangga dengan perkembangan program seumpama ini kerana FAM memang memerlukan program latihan dari peringkat akar umbi kerana pada masa ini FAM kekurangan sumber untuk membiayai program seperti ini di setiap pelosok negara,” katanya selepas melawat Pusat Latihan Bola Sepak ProMTouch di SK Seri Bandar, semalam.

 

Menurutnya, FAM kini beralih arah dalam mencungkil dan mengasah bakat muda dan mahu usaha yang dilakukan PorMTouch diperluaskan dan dapat menjadi contoh kepada organisasi lain dalam membantu FAM mengubah senario malap bola sepak negara yang kini terperosok di kedudukan 159 ranking dunia.

Sementara itu, Pengurus Besar ProMTouch, Hamzah Abu Noor berkata, pihaknya sedia memperluaskan lagi kem latihan di seluruh Melaka membabitkan daerah Alor Gajah dan Jasin, memandangkan sambutan yang diadakan di dua kem latihan mendapat sambutan menggalakkan.

 

 

Cetak laman ini