Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Beregu Batal Hasrat Tarik Diri

 


Dikemaskini : 26 Jan 2008 06:19 PM

 

Gangguan yang terjelma, hanya bersifat sementara apabila empat pemain - Tan Bin Shen, Ong Soon Hock, Gan Teck Chai dan Lin Woon Fui - semalam sah membatalkan hasrat keluar daripada skuad badminton negara.

Pendirian itu diputuskan mereka selepas mengambil kira kepentingan negara dalam misi mengejar kilauan emas Sukan Olimpik hasil pertemuan hampir sejam dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.

 

“Bukan wang jadi faktor keputusan mahu menarik diri sebelumnya. Ia lebih kerana kami berpendapat masa depan kami tidak begitu cerah dan mahu mencari penaja sendiri untuk membolehkan kami menyertai pelbagai kejohanan.

 

“Apa yang kami mahukan ialah peluang untuk menyertai kejohanan demi kerjaya kami.” kata Teck Chai selepas pertemuan itu.

 

Malah keempat-empat pemain itu menegaskan betapa mereka tiada sebarang masalah dengan jurulatih, Rexy Mainaky yang disifatkan sebagai amat bagus dalam membantu meningkatkan prestasi mereka.

 

“Kami amat gembira dengan Rexy. Dia jurulatih yang bagus. Kami juga tidak sampai hati untuk meninggalkan rakan sepasukan lain kerana hubungan yang begitu rapat.

 

“Kami lakukan ini demi negara. Kami juga gembira dengan jaminan Datuk Zolkples untuk membantu kami menyelesaikan sebarang masalah yang ada,” katanya.

 

Empat pemain itu sebelumnya sudah mengadakan pertemuan dengan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh, beberapa hari lalu tetapi keputusan muktamad kekal hanya diputuskan selepas bertemu Zolkples.

 

“Kenny ada minta kami untuk kekal bersama pasukan negara. Malah kami juga pernah berbincang mengenainya dengan Rexy. Saya percaya ini adalah keputusan terbaik untuk kami,” kata Soon Hock.

 

Zolkples pula jelas lega dengan pendirian keempat-empat pemain itu dan turut memuji mereka kerana sedia

memainkan peranan untuk membantu rakan sepasukan lain menyiapkan diri buat menghadapi temasya Olimpik di Beijing, Ogos nanti.

 

“Biarpun tidak mampu layak, mereka sedia memainkan peranan untuk membantu pemain lain. Mereka juga pastinya akan beruntung kerana beroleh peluang berlatih bersama-sama pemain utama negara.

 

“Bagi saya, jika ada masalah sekalipun, ia mampu diatasi. Mereka juga bersetuju. Saya akan berbincang dengan BAM untuk mencari jalan penyelesaian jika ada masalah,” kata Zolkples.

 

Empat pemain itu sebelumnya menghantar surat mahu menarik diri ketika Terbuka Malaysia, minggu lalu namun, dengan pendirian terbaru itu, ia pasti melegakan BAM yang jelas perlukan segala bantuan demi merealisasikan matlamat menamatkan penantian pingat emas di Beijing nanti.

 

 

Cetak laman ini