Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Belanda Terlalu Hebat Untuk Barisan Muda Kita

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 25 Jan 2008 12:37 AM

 

Belanda mempamerkan aksi garang pada separuh masa kedua untuk menundukkan Malaysia 4-0, sekaligus melonjak ke tangga kedua kedudukan liga dalam Kejohanan Hoki Jemputan Lapan Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

 

Ia merupakan kekalahan kelima Malaysia dalam enam perlawanan setelah memungut mata pertama menentang Korea pada perlawanan sebelumnya.

 

Belanda, yang memerlukan kemenangan untuk merebut tempat ke perlawanan akhir, bermula dengan agak baik, namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-15 untuk mendahului menerusi Lukas Siebinga.

 

Empat minit kemudian, Malaysia kehilangan pemain pertahanan, Md Nor Hafiq Abd Ghafar setelah mengalami kecederaan di dahi.

 

Belanda terus mempamer aksi mantap, dan hanya memerlukan lapan minit di separuh masa kedua untuk menjaringkan tiga gol.

 

Bas Campbell mengutip hantaran Bart Sander sebelum memukul kencang menewaskan penjaga gol negara, Abdul Hakim Adnan pada minit ke-52, diikuti gol jaringan Johrus Gommers dua minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Mink van De Weerden melengkapkan kemenangan 4-0 Belanda pada minit ke-60.

 

Sementara itu, India mencatatkan kemenangan bergaya 5-1 ke atas seteru utama Jerman, untuk terus mengungguli kedudukan teratas.

 

Diwakar Ram melebarkan jumlah jaringannya di kejohanan ini kepada lapan gol, setelah menjaringkan dua gol pada minit ke-9 dan 50, manakala Pramod Kumar, Dharamveer Singh, dan Lalit Upadhyar masing-masing menjaringkan satu gol untuk melengkapkan kemenangan India.

 

Gol tunggal Jerman dijaringkan Robert Marx pada minit ke-57.

 

 

 

Cetak laman ini