Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Istaf Ingatkan Ahmad Supaya Tidak Main Politik

 


Dikemaskini : 29 Jan 2008 05:54 PM

 

Ketika Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) sedia mencari penyelesaian kepada isu bola Marathon Gen II, ia juga mengingatkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail supaya tidak menjadikan sukan sebagai bahan politiknya.

 

Naib Presidennya, Prof Dr Charlem Chaiwatcharapon, berkata kelantangan Ahmad dibimbangi akan mengeruhkan keadaan dengan negara jiran terutama sekali Thailand, hingga boleh menjejaskan hubungan kedua-dua pihak.

 

Malah, beliau meminta Ahmad tidak menjadikan sukan sebagai bahan politik dan Istaf sentiasa bersedia duduk semeja berbincang, mencari jalan penyelesaian terbaik kepada segala rasa tidak puas hati ahli gabungannya itu.

 

“Sekarang ini, hanya Presiden PSM yang lantang bersuara dan mengeluarkan pelbagai kenyataan kepada media negara anda,” kata Prof Chalerm ketika dihubungi di Bangkok, semalam.

 

“Dan daripada laporan yang saya terima serta dengar, ada kenyataannya yang berbaur sentimen terutama membabitkan Thailand tetapi saya tidak pasti apakah ini benar?

 

“Saya berharap Ahmad berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana saya bimbang ia akan menimbulkan ketegangan dan mengeruhkan hubungan baik dengan negara jiran. Jangan cuba menjejaskan hubungan baik sedia ada. Ahmad seorang ahli politik tetapi jangan jadikan sukan bahan politik.

 

“Sebenarnya Istaf tidak tahu apa yang diminta PSM kerana mereka tidak pernah menulis secara rasmi sebaliknya hanya surat 14 muka surat yang dihantar kepada Istaf untuk merayu dipertimbangkan penggunaan bola lama di Sukan Sea dan isu itu bermula dengan penarikan diri Malaysia daripada temasya serantau itu.

 

“Setahu saya, Istaf belum mengenakan apa-apa tindakan terhadap PSM. Sepatut PSM menulis secara rasmi kepada Istaf meminta diadakan mesyuarat atau apa saja dan saya pasti badan induk ini bersedia berbuat demikian bagi mencari jalan penyelesaian berdasarkan formula ‘menang-menang’ atau merujuk kepada pihak ketiga,” katanya.

 

PSM sudah berpatah arang dan berkerat rotan dengan Istaf dan Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia) bermula dengan hanya isu bola baru bersalut getah - Marathon Gen II - tetapi sekarang sudah meleret-leret hingga tampak ada kecenderungan PSM untuk menjajanya sebagai isu nasional.

 

Ini termasuk cadangan menyerahkan nota bantahan kepada Kedutaan Thailand kerana tidak puas hati apa yang dianggap dakwaan cubaan campur tangan Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat dalam hal ehwal dalaman PSM, selain rancangan mengadakan ‘perhimpunan raksasa’ peringkat kebangsaan untuk menjelaskan isu itu.

 

“Istaf menyambut baik keputusan PSM untuk tidak menarik daripada menjadi ahli gabungan badan induk ini dan Istaf percaya perkara ini masih boleh diselesaikan sesama sendiri, tanpa merujuk kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan Antarabangsa (CAS),” kata Prof Chalerm.

Sementara itu, Presiden Astaf, Abd Halim Kader berharap masalah itu perlu dihentikan segera dan jangan terus memalukan keluarga sepak takraw lebih-lebih lagi dengan tindakan konfrantasi yang diambil Ahmad.

“Astaf, tidak akan menghalang PSM merujuk segala kemelut yang berlaku ke CAS tetapi mengingatkan supaya membuat kajian lebih mendalam agar tidak menambah aib yang ditanggung PSM ketika ini sama ada di Malaysia atau persada dunia,” katanya.

 

 

Cetak laman ini