Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Kuala Muda Rampas Takhta, Sang Kijang Terus Garang

 

Nasaruddin Talkah / Aiman Aminul


Dikemaskini : 29 Jan 2008 05:42 PM

 

Kuala Muda Naza menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri serta kesempatan di atas ketiadaan Johor yang tidak beraksi malam tadi untuk merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana yang baru, setelah menundukkan Proton FC 4-1 di Stadium Darulaman.

 

Barisan bimbingan K.Devan, mendahului pada minit ke-16 menerusi jaringan Mohd Ferozi Daud yang menyudahkan hantaran Liew Kit Kong, sebelum Kit Kong sendiri menjaringkan gol kedua Kuala Muda pada minit ke-29 hasil hantaran Farderin Kadir.

 

Kit Kong terus menjadi duri dalam daging buat pasukan Proton, setelah berjaya menjaringkan gol ketiga pasukannya hasil larian solo yang cukup cantik seminit selepas permainan bersambung di babak kedua, manakala Jose Antonio Vega melengkapkan gol keempat tuan rumah pada minit ke-67.

 

Proton memperoleh gol tunggal mereka menerusi pemain import, Aguama Stanley pada minit ke-53.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam lapan perlawanan setelah membelasah Kuala Lumpur 4-1.

 

Tuan rumah hanya memerlukan lima minit pertama untuk mendahului dua gol, menerusi jaringan Jan Necas pada minit ke-3, yang menyempurnakan hantaran ketua pasukan, Sarudy Aziz dan jaringan Nizad Ayub pada minit ke-5, hasil lorongan Safuan Ibrahim.

 

Nizad sekali lagi menambah jaringan pada minit ke-63 manakala gol keempat dijaringkan Mohd Aras Abdullah pada minit ke-82, sementara gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan Bekoe Cofie.

 

Di Stadium Selayang, KL Plus berpesta gol setelah mencatatkan kemenangan 6-0 ke atas Tentera.

 

Gol-gol KL Plus dijaringkan oleh Md Lot Abu Hassan (m-24), Tercio Nunez Marcado (m-37, 88) dan Alex Agbo (m-61, 69), manakala satu lagi gol adalah menerusi jaringan sendiri Rosfizan Othman.

 

Di Stadium Hang Tuah, Shahzan Muda bangkit dari ketinggalan satu gol untuk mencatatkan kemenangan pertama setelah menewaskan tuan rumah Melaka 2-1.

 

Kapten pasukan, Julius Abega menjaringkan gol pertama Melaka pada minit kelapan sebelum Shahzan mendapatkan gol penyamaan menerusi Josep Anthony Milicic pada minit ke-19 hasil pergelutan di kawasan penalti tuan rumah, sebelum Choi Woh Seng menolak masuk hantaran Victor Da Silva pada minit ke-69.

 

Aksi di Stadium MBPJ pula menyaksikan Harimau Muda terus kempunan mengutip tiga mata penuh, setelah hanya mampu seri 2-2 menentang PKNS Selangor.

 

Walaupun mendahului dua kali menerusi tandukan A.Tamil Arasu seawal minit kelima dan jaringan Fakri Saarani pada minit ke-78, anak buah K.Rajagopal gagal mempertahankan kelebihan tersebut apabila membenarkan PKNS bangkit menyamakan kedudukan menerusi Md Alafi Mahmud pada minit ke-62 dan 89.

Dalam perlawanan lain, Felda United tewas 1-2 di tangan Sabah di Stadium Bolasepak Cheras.

 

 

Cetak laman ini