Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Kedah Tanpa Marlon

 


Dikemaskini : 29 Jan 2008 05:45 PM

 

Kedah harus menerima hakikat berdepan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, malam ini tanpa penjaring terbanyak, Marlon Alex James yang terpaksa diketepikan selepas menerima kad kuning ketiganya ketika bertemu Sarawak, Sabtu lalu.

 

Namun, penyerang yang sudahpun menjaringkan 11 gol musim ini, tidak mahu ia dijadikan faktor bimbang malah yakin pemain lain yang bakal diturunkan dapat menyempurnakan misi mencari gol untuk pasukan Hijau Kuning melakar kemenangan lagi di gelanggang lawan nanti.

 

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Othman Aziz akur Kedah tetap pincang tanpa penyerang prolifik itu disamping soal kecederaan ke atas beberapa pemain utama lain.

 

“Ketika bertemu Sarawak Sabtu lalu, khidmat Khyril Muhymeen tidak dapat digunakan kerana belum pulih daripada kecederaan dan esok (malam ini), kemungkinan besar kami juga terpaksa mengenepikan khidmat Hasmawi Hassan yang mengalami kecederaan.

 

“Apapun, saya yakin pengganti Marlon iaitu Samransak Kram mampu memastikan kami tidak ketandusan jaringan ketika ditugaskan mengepalai bahagian serangan untuk membocori gawang lawan bagi memastikan tiga mata,” kata Othman.

 

Menurutnya, Hijau Kuning terpaksa menggunakan tenaga pemain skuad Liga Simpanan untuk pertemuan dengan Pulau Pinang dan yakin pemain itu yang bakal mengisi kekosongan pemain utama tidak bermasalah untuk memastikan prestasi pasukan kekal seperti biasa.

 

“Inilah asam garam perjalanan liga yang panjang, hanya pasukan yang memiliki barisan pemain simpanan yang mantap mampu menamatkan liga dengan kejayaan,” kata Othman.

 

Dia menambah, kehadiran tonggak pertahanan Cornellius Bernard Hugging dan penjana bahagian tengah, Nelson Sam Martin mampu memastikan prestasi barisan pemain muda tetap teratur dan cemerlang.

 

“Kami sudah beraksi tanpa khidmat Marlon ketika mengatasi UPB MyTeam 2-1 di Alor Star dua minggu lalu dan saya yakin kami mampu mengulanginya walaupun beraksi di gelanggang lawan.

 

“Saya dan Azraai (Khor Abdullah-jurulatih) tidak pernah meragui kemampuan barisan pemain simpanan yang sudah berkali-kali membuktikan kemampuan mereka ketika diberi peluang,” kata Othman.

 

 

Cetak laman ini