Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Malaysia Menang Akhirnya, Australia Kejutkan India

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 28 Jan 2008 10:47 PM

 

Akhirnya, kemenangan yang dicari anak buah V.Muralidharan pada Kejohanan Remaja Jemputan Lapan Negara yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil berjaya diperoleh, setelah menundukkan Korea Selatan 2-1 pada perlawanan penentuan tempat ketujuh, sekaligus mengelak aib menduduki tangga tercorot di arena sendiri.

 

Setelah hampa dengan hanya mampu mengutip satu mata sepanjang tujuh perlawanan lalu – menentang lawan yang sama – pasukan negara memerlukan jaringan emas Mohd Shafiq Mohd Zain pada minit ke-78 untuk mengesahkan kemenangan setelah kedudukan masa sebenar terikat 1-1.

 

Bagaimanapun, Korea terlebih dahulu mendahului pada minit ke-46, menerusi jaringan padang Nam Hyun Woo, namun Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-53 menerusi percubaan jarak dekat Azreen Rizal Nasir.

 

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan peringkat kumpulan tempoh hari, dan tewas kesemua perlawanan lain, dan sekali lagi perlawanan 70 minit berkesudahan dengan keputusan yang sama, sebelum gol pertama Md Shafiq di kejohanan ini, hasil lantunan bola pukulan sudut penalti memastikan pasukan remaja negara kemenangan yang dicari-cari sejak kejohanan bermula.

 

Jurulatih, V.Muralidharan menyatakan bahawa pasukan negara sudah mula mempamerkan peningkatan secara keseluruhan, dan tidak mengalah walaupun ketinggalan satu gol, sambil menghamburkan pujian kepada penjaga gol, Abdul Hakim Adnan yang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pasukan Korea.

 

Sementara itu, Australia mengejutkan India 3-2 pada perlawanan akhir sekaligus ‘menghadiahkan’ India kekalahan pertama di kejohanan ini.

 

Pemain sensasi mereka, Diwakar Ram menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-12, namun Austalia berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi Aaron Kleinschmidt, sebelum Kleinschmidt sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-52.

 

Walaupun Mandeep Anil berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-63, Matt Buttuni mengesahkan kemenangan Australia menerusi gol ketiga pada minit ke-66.

 

Jerman pula menduduki tempat ketiga setelah menundukkan Belanda 3-1, hasil jaringan Felix Oldhafer (m-1), Patrick Schmidt (m-15) dan Benedikt Furk (m-49), manakala gol saguhati Belanda dijaringkan Quijn Caspers pada minit ke-66.

 

Pakistan mengesahkan tempat kelima setelah membelasah New Zealand 8-3 dalam satu lagi perlawanan, dengan Haseem Khan dan Shafqat Rasool menjaringkan dua gol, manakala Ali Khasif, Ullah Inayat, Adeel Husain dan Mohd Zubair masing-masing menjaringkan satu gol.

 

Stephen Jenesses, Isaac Staples dan Joseph Bartelomew menjaringkan gol untuk New Zealand.

 

 

 

 

Cetak laman ini