Mesyuarat Majlis :
MOM Harap PSM Akan
Hadir
Dikemaskini :
25 Jan 2008 12:33 AM
MAJLIS Olimpik
Malaysia (MOM)
berharap Persatuan
Sepak Takraw
Malaysia (PSM) akan
meluangkan masa
untuk menghadiri
mesyuarat Majlis
badan induk itu
Sabtu ini - sesuatu
yang gagal dilakukan
persatuan itu sejak
lima tahun lalu -
bagi sama-sama
membantu
menyelesaikan
kemelut yang melanda
sukan itu.
Setiausaha Agungnya,
Datuk Sieh Kok Chi,
berkata walaupun
masalah yang melanda
PSM ini adalah
perbalahan dalaman
dengan badan induk -
Persekutuan Sepak
Takraw Antarabangsa
(Istaf) dan
Persekutuan Sepak
Takraw Asia (Astaf)
- MOM bersedia untuk
berbincang isu itu.
Apa lagi ketika ini,
PSM, Istaf dan Astaf
terbabit dalam
perang mulut dengan
kenyataan retorik
tanpa ada usaha
ikhlas cuba mencari
jalan penyelesaian
demi sukan itu.
“MOM berharap PSM
akan hadir pada
mesyuarat Majlis
kali ini,” kata Kok
Chi. “Memang mereka
tidak pernah hadir
dalam mesyuarat
Majlis sejak lima
tahun lalu dan saya
kecewa dengan sikap
mereka ini dan juga
persatuan lain yang
juga berkelakuan
sedemikian.
“Jika PSM hadir
mungkin mereka boleh
membangkitkan
kemelut yang melanda
dan Majlis boleh
sama-sama berbincang
dan membantu
persatuan itu
menyelesaikan
perbalahan dengan
Istaf dan Astaf
secara baik.
“Walaupun PSM
mungkin melihat ia
sebagai isu dalaman
membabitkan diri
mereka dengan badan
induk tetapi MOM
bersedia mencari
jalan penyelesaian.
Untuk itu, MOM akan
menulis surat kepada
PSM untuk meminta
kehadiran mereka.”
Perbalahan antara
PSM dengan Istaf dan
Astaf, yang bermula
dengan masalah
penggunaan bola baru
bersalut getah,
sudah bertukar
menjadi “perlawanan
menunjuk siapa
jaguh.”dengan
kedua-dua pihak
mengeluarkan
pelbagai kenyataan,
bukan untuk mencari
jalan penyelesaian
sebaliknya
memanjangkan lagi
sengketa itu.
Ia sekali gus
menimbulkan
persoalan sama ada
PSM dan Istaf
mahupun Astaf ikhlas
untuk mencari jalan
penyelesaian atau
satu sekadar
terbabit dalam
‘permainan politik.’
Bagi Kok Chi, jika
PSM bertegas dengan
ancaman mereka untuk
keluar daripada
Istaf, maka badan
induk itu mengambil
risiko yang cukup
besar termasuk
kehilangan keahlian
dalam MOM secara
automatik.
“Syarat MOM bagi
persatuan yang ingin
menjadi ahli
gabungan ialah perlu
terlebih dahulu
mendapatkan
pengiktirafan
daripada badan induk
antarabangsa yang
disahkan oleh
Jawatankuasa Olimpik
Antarabangsa ataupun
Asia.”