Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Misi Getir Rayzam Di Doha

 


Dikemaskini : 30 Jan 2008 03:35 PM

Masanya sudah tiba buat pelari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian membuktikan dia adalah antara permata baru olahraga tanah air ketika dia bersiap untuk menghadapi Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Asia di Doha, dua minggu lagi.

Selepas cemerlang memungut pingat emas ketika ketiadaan seorang lagi pakar acara 110 meter berpagar, Mohd Robani Hassan di Sukan Sea Korat, hujung tahun lalu, pelari yang baru memasuki usia 20 tahun pada 11 Januari lalu itu kini memiliki tanggungjawab berat yang perlu ditunaikan.

Rayzam dan empat atlit disenaraikan untuk menyertai Kejohanan Dalam Dewan Asia di Doha bermula 14 Februari ini bersama pelari 110m berpagar, Mohd Faiz Mohamed, Zaiful Zainal Abidin (400m), Lee Hup Wei (lompat tinggi) serta atlit lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu.

Dan selepas menyertai kejohanan di sana, dia bersama kelompok 24 atlit elit olahraga akan mula mengadakan latihan selama dua bulan di Kunming, China, program latihan awal yang khusus untuk Sukan Sea Laos 2009 dan juga Olimpik Beijing.

“Saya sudah bersedia untuk ke sana, latihan juga saya rasa sudah mencukupi cuma saya harap mampu menyerlah di sana,” kata Rayzam yang akan berlepas ke Doha pada 12 Februari nanti.

Rayzam sebelum ini mensasarkan untuk berada pada prestasi terbaik tahun ini bagi memecah rekod kebangsaan milik Nur Herman Majid 13.73 saat yang masih belum diperbaharui sejak Herman melakukannya pada Sukan Asia Hiroshima 1994.

Dan jika dia berjaya melakukannya, bermakna anak didik Raymie Abu Bakar itu akan layak menerusi kategori B yang memiliki had kelayakan 13.72s manakala catatan terbaiknya ialah 13.91s pada Sukan Sea Korat lalu.

Kejohanan dalam dewan kali ini adalah yang pertama buat atlit berasal dari Keningau, Sabah itu walaupun pada 2006 dia pernah dijemput untuk menyertai kejohanan sama tetapi membatalkan hasratnya kerana perlu menyertai Sukan Malaysia (Sukma) bersama negeri kelahirannya, Sabah.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai kejohanan seperti ini, saya masih belum tahu keadaan di sana dan sukar untuk saya membayangkan cabaran yang akan ditempuhi nanti. Saya akan gunakan pengalaman ini untuk memperbaiki larian saya,” katanya.

 

Cetak laman ini