|
Muralee
Optimis
Kemampuan
Anak Buah |
Dikemaskini :
31 Jan 2008 04:54 PM
Tiada jalan pintas
buat skuad hoki
remaja negara yang
dijadual menjalani
latihan padat
bermula daripada
asas permainan,
sekalipun kejohanan
hoki Piala Dunia
Remaja berbaki
setahun setengah
lagi.
Sudah pasti tempoh
itu bukan saja
menjadi ujian getir
buat anak buah V
Muraleedharan,
tetapi juga
jurulatih baru
pasukan hoki Bawah
21 Tahun negara itu
yang mengambil alih
kendalian skuad
berkenaan sejak 24
Disember lalu.
Tempoh sesingkat itu
dilihat benar-benar
menguji kewibawaan
jurulatih berkenaan
apabila skuad awal
yang dihimpunkan
pada Kejohanan Hoki
Jemputan Lapan
Negara yang baru
berlalu, perlu
dilepaskan untuk
tempoh lima minggu
bagi menyertai Liga
Hoki Remaja
Malaysia.
“Penyertaan pemain
dalam saingan liga
tempatan itu ada
kebaikannya juga,
malah saya akan
menggunakan medan
itu untuk mencari
bakat baru bakal
menyertai skuad saya,”
katanya yang akan
menyenarai pendek 36
pemain remaja sedia
adanya kepada
barisan 30 pemain
terbaik selepas
kejohanan liga itu.
Pada masa sama,
Muraleedharan
mengakui yakin mampu
menyediakan skuad
terbaik untuk
menyertai Piala
Dunia 2009 yang
menyaksikan Malaysia
dipilih sebagai tuan
rumah bersama
Singapura.
Muraleedharan
berkata, beliau
mendapat sokongan
penuh daripada
Jawatankuasa
Kejurulatihan dan
Institut Sukan
Nasional (ISN) bagi
melaksanakan program
latihannya.
Antara perancangan
awal diatur termasuk
latihan kecergasan
yang akan diadakan
pada sesi latihan
pagi bermula 7
hingga 8.30 pagi.
Selain itu, tiga
negara Eropah -
Jerman, Belanda dan
Belgium selain
Australia serta
India sedang diintai
sebagai sasaran
program latihan
jelajah negara di
luar negara.
“Mungkin kami akan
menjalani sesi
latihan dan siri
perlawanan
persahabatan di
Eropah pada Jun
sebelum menyertai
Piala Asia pada
Julai, manakala
Australia pula akan
dikunjungi pada Ogos.
“Namun semuanya
masih belum mencapai
kata putus kecuali
latihan dan
perlawanan
persahabatan di
Inida yang akan
berlangsung selama
sembilan hari,
bermula 15 Disember
depan,” katanya.
Dalam dua penyertaan
Malaysia pada Piala
Dunia Remaja di
Versailles, Perancis
(1979) dan Kuala
Lumpur (1982), skuad
negara hanya mampu
mencatatkan rekod
terbaik dengan
menamatkan saingan
di tempat keempat.