Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Isu Bola Marathon : PSM, Ahmad Digantung

 


Dikemaskini : 30 Jan 2008 03:36 PM

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), semalam mengumumkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan presidennya, Datuk Ahmad Ismail digantung sepenuhnya sebagai anggota badan induk itu berkuat-kuasa, hari ini.

Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader, berkata seluruh anggota exco Istaf sebulat suara meluluskan usul menggantung PSM kerana didakwa ‘menderhaka’ kepada badan induk itu apabila cuba menubuhkan persatuan alternatif dunia.

“Majlis Exco yang bersidang Sabtu dan Ahad lalu memutuskan menghadapkan PSM dan Ahmad kepada Majlis Tribunal Istaf kerana turut ugut untuk keluar daripada Istaf selain sudah mula berkempen menghasut negara anggota menyertai pertubuhan baru.

“Keputusan dibuat oleh Presiden Istaf, Mejar Jeneral Charouck Arrirachakaran berdasarkan bidang kuasa yang ada padanya seperti yang termaktub dalam perlembagaan selepas usul itu diluluskan oleh exco,” katanya ketika dihubungi semalam.

Halim berkata, notis mengenai penggantungan serta menghadapkan mereka ke tribunal sudah pun diserahkan kepada Ahmad dan PSM.

“Mereka adalah anggota yang derhaka bertujuan untuk memalu dan mencemarkan Istaf, selaku badan induk sepak takraw antarabangsa,” katanya tanpa menjelaskan bila tribunal itu akan bersidang atau siapa exco yang menghadiri sidang itu.

Katanya, tribunal itu akan bersidang dan membuat keputusan mengenai sebarang bentuk hukuman yang akan dikenakan terhadap mereka. Kita punya kuasa untuk menentukan bila tribunal itu akan bersidang dan terserah kepada sebarang perkembangan yang mendatang,” katanya.

Sementara itu di Bukit Jalil, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman, berharap isu ini dapat diselesaikan oleh PSM dan badan induk persatuan itu kerana pertelingkahan itu akan merugikan semua pihak.

“Kita kasihan kepada atlit dan adalah rugi andai kita gagal menyelesaikan kemelut ini kerana sukan ini sudah kembali bertapak di sekolah-sekolah. Saya akan segera bertemu dengan Ahmad berkaitan perkara ini dan berbincang apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Hubungan tegang dengan dua badan induk itu bermula selepas PSM menarik diri daripada Sukan Sea di Korat pada Disember, tahun lalu dengan mendakwa penggunaan bola baru iaitu Marathon Gen-II tidak mendapat kelulusan mesyuarat tertinggi Istaf.

Keadaan bertambah rumit apabila kepimpinanan Istaf dan Astaf ingin mengambil tindakan kepada pimpinan PSM yang cuba menggugat pertubuhan itu.

Malah PSM bertindak berani Sabtu lalu dengan memutuskan untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan Antarabangsa (CAS), bagi mengharamkan penggunaan bola Marathon Gen-II.

 

Cetak laman ini