Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Sabri Julang Kedah, Khalid Wira Yang Malang

 

Aiman Aminul


Dikemaskini : 28 Jan 2008 03:25 PM

 

Pemain pertahanan, Sabri Abu memastikan Kedah terus menguasai persada liga setelah dua jaringannya membantu sang kenari menewaskan pasukan tangga tercorot, Sarawak 2-0 di Stadium Darulaman, Alor Star malam tadi.

 

Sabri menjaringkan gol pertama pada minit ke-5 setelah menguis masuk bola tandukan Cornelius Bernard Hugging hasil sepakan sudut Nelson Sam sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-12 setelah memperoleh peluang yang sama, kali ini hasil hantaran A.Victor.

 

Aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pula menyaksikan Perak mengganas dengan mencatatkan kemenangan 6-0 ke atas tuan rumah Polis, dengan penyerang sensasi, Khalid Jamlus menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan 45, sebelum diperintah keluar padang pada minit ke-67 – kad merah keduanya dalam 4 perlawanan terakhir.

 

Empat lagi gol Perak dijaringkan oleh penyerang import Carlos Caceres (m-50, 87), Hardi Jaafar (m-71) dan Wan Bustamin pada minit ke-90.

 

Pertahanan Polis, V.Saysupalan turut dilayangkan kad merah pada perlawanan ini pada minit ke-65.

Di Stadium Darulmakmur, tandukan Rahman Zabul pada minit ke-78hasil sepakan percuma Lamin Conte membantu Negeri Sembilan mengutip satu mata setelah mengikat tuan rumah, Pahang 2-2.

 

Pahang mendahului pada minit ke-58 menerusi Redouane Barkaoui yang menyempurnakan sepakan penalti selepas rakan sepasukan Christiano Lopez dikasari dalam kotak penalti sebelum Lopez sendiri menjaringkan gol kedua pada minit ke-64.

 

Namun, Negeri Sembilan bangkit merapatkan jurang menerusi Affendi Malek yang merembat kencang dari dalam kotak penalti menewaskan Syamsuri Mustafa pada minit ke-68, sebelum Rahman menyamakan kedudukan.

 

Keputusan seri NS membolehkan Selangor  melonjak ke tangga kedua setelah menang tipis 2-1 mengatasi DPMM Brunei di Stadium Shah Alam.

 

Gol-gol Selangor dijaringkan Safee Sali pada minit ke-30, dan jaringan penalty Frank Seator pada minit ke-70, sementara DPMM mendapat gol tunggal menerusi Diego Santos.

 

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis turut memungut tiga mata setelah menewaskan Johor FC 3-1, menerusi jaringan Phillimon Chipeta pada minit ke-34 dan 63 manakala satu lagi gol dijaringkan K Soley sembilan minit sebelum tamat perlawanan.

 

Gol tunggal pasukan Johor FC dijaringkan pemain import, Walter Silva pada minit ke-51.

 

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu kembali ke landasan kemenangan setelah menundukkan UPB-MyTeam 3-1, sekaligus menghapus badi tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan.

 

Abd Manaf Mamat membuka tirai jaringan buat tuan rumah setelah merembat kencang hantaran Josian Bento pada minit ke-27, diikuti jaringan Mohd Ashaari Shamsuddin yang menanduk masuk tendangan sudut Zairo Anuar Zailani dua minit selepas permainan bersambung

 

Josian menambah derita pelawat pada minit ke-87 apabila menolak mudah hantaran Gleison Freire sebelum UPB-MyTeam menjaringkan gol pada minit terakhir menerusi Mohd Zamri Chin

 

 

 

Cetak laman ini