Laman Utama

  
   EDISI :
.
 
 

 

Safuan Bergelar Jagoan Dunia

 


Dikemaskini : 28 Jan 2008 03:51 PM

 

Pasukan Malaysia meraikan kejayaan Safuan Said di Kejohanan Lawn Bowl Dunia di Christchurch, New Zealand

Gelaran juara perseorangan lelaki dunia menjadi milik pemain negara, Safuan Said selepas menang 21-10 ke atas pencabarnya, Aaron Sheriff, 22, dari Australia dalam saingan akhir Kejohanan Lawn Bowl Dunia di padang Burnside Bowling Club, semalam.

Anak kelahiran Perak itu berjaya membuktikan kecemerlangan persembahannya dalam final di Christchurch, New Zealand dengan menyumbang emas tunggal kepada skuad negara yang sebelum ini memungut empat gangsa menerusi gandingan pemain lelaki dan wanita dalam kejohanan empat tahun sekali ini.

Kemenangan Safuan meletakkan skuad negara di tangga keempat keseluruhan daripada 28 negara yang bertanding, di belakang New Zealand (4-2-0), Australia (1-3-3) dan Scotland (1-1-0).

Dalam aksi akhir semalam, lawannya yang berasal dari New South Wales, Australia mendahului 2-0 selepas dua permainan sebelum Safuan berjaya bangkit dengan hayunan cemerlang untuk mengasak Aaron mulai permainan ketiga hingga ketujuh dan berjaya mendahului 9-4.

Pemain negara itu terus mendahului di beberapa permainan berikutnya untuk menjadikan kedudukan 15-6, 17-7, 19-9 dan sehingga ke permainan ke-22 untuk kedudukan muktamad 21-10.

“Saya amat gembira. Saya tidak dapat mempercayainya," kata Safuan sejurus selepas kemenangan yang cukup signifikan itu di gelanggang sama dia pernah mengecapi beberapa kejayaan dalam karier sukan boling padangnya.

Safuan merupakan juara dunia bawah 25 tahun pada 2005 dan pemenang pingat emas dalam acara beregu pada Kejohanan Lawn Bowl Asia Pasifik tahun lalu.

 

Cetak laman ini