Barisan Remaja
Negara Gagal Saingi
India
Siti Khadijah dan
Siti Hawa Majid
Dikemaskini :
26 Jan 2008 05:44 PM
Kuala Lumpur
– Pasukan remaja
India mengesahkan
tempat di pentas
perlawanan akhir
Kejohanan Hoki
Jemputan Lapan
Negara setelah
menundukkan barisan
kurang bersemangat
Malaysia 4-1 pada
perlawanan di
Stadium Hoki
Nasional Bukit Jalil
malam tadi.
Lawan India di
perlawanan akhir
nanti adalah antara
Australia ataupun
Belanda, di mana
pasukan Belanda akan
bertemu India pada
perlawanan terakhir
kumpulan esok, dan
memerlukan
kemenangan untuk
mara ke perlawanan
akhir.
Pada perlawanan
semalam, barisan
pemain India yang
sudahpun mencatatkan
empat kemenangan
dari lima perlawanan
sebelum ini,
langsung tidak
menunjukkan simpati
terhadap anak buah
V.Muralidharan yang
menduduki tangga
tercorot, sebaliknya
mendahului seawal
minit ke-12 menerusi
jaringan sudut
penalti Diwakar Ram.
India kemudiannya
menguasai perlawanan
dan mendahului 4-0,
menerusi jaringan
Pramod Kumar,
Sarvanjeet Singh dan
ketua pasukan
Gurvinder Singh
Chandi pada minit
ke-42, 46 dan 51,
sebelum pasukan
negara memperoleh
gol tunggal menerusi
pukulan penalty
strok Mohd Nor Hafiq
Abd Ghafar pada
minit ke-65.
Pasukan negara akan
menentang Jerman
pada perlawanan
terakhir esok, namun
sebarang keputusan
tidak mampu mengubah
kedudukan Malaysia
di tangga tercorot.
Dalam aksi
sebelumnya, Pakistan
kembali ke landasan
kemenangan setelah
membelasah New
Zealand 6-1, setelah
gagal mencatat
kemenangan pada tiga
perlawanan sebelum
ini.
Pakistan memperoleh
jaringan pertama
melalui pukulan
sudut penalti oleh
Ali Kashif pada
minit ke-19 yang
kekal sehingga tamat
babak pertama,
sebelum aksi babak
kedua menyaksikan
mereka menambah lima
lagi gol menerusi
Haseem Khan (m-45,
59), Ali Khasif
(m-51), Nasir
Shahzad (m-60) dan
Hussein Adeel
(m-62).
Kemenangan ini
meletakkan mereka di
tangga kelima di
belakang Jerman,
yang tewas 3-6
kepada Australia,
manakala Belanda
semakin hampir
mengisi satu lagi
slot akhir setelah
membenam Korea 5-1.